suria

Surat Kepada Unesco Tidak Bermotif Politik

GEORGE TOWN: Keputusan untuk menghantar surat kepada Pusat Warisan Dunia Unesco (WHC) di Paris mengenai Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Negeri Pulau Pinang bukan bermotifkan politik, kata ahli Penang Forum, Dr Lim Mah Hui.

"Saya telah bercakap menentang dasar Barisan Nasional pada masa lalu. Saya hanya bimbang tentang masa depan Pulau Pinang.

"Risiko daripada PIP dan ancamannya terhadap warisan kita yang tidak ternilai mesti didedahkan," katanya kepada The Star, Ahad.

Dr Lim berkata beliau menulis surat 15 helaian kepada Unesco pada 23 Jun sebagai ahli jawatankuasa pemandu Penang Forum untuk menonjolkan tentang potensi bahaya PIP yang mungkin boleh menyebabkan Pulau Pinang kehilangan status Tapak Warisan Dunia Unesco.

Penang Forum adalah gabungan NGO dan kumpulan yang mempunyai kepentingan awam bagi demokrasi, pembangunan mampan, pengangkutan, warisan dan kesedaran alam sekitar di Pulau Pinang.

Setakat ini, terdapat lebih daripada 10 NGO Pulau Pinang dalam forum ini, melibatkan kumpulan yang memperjuangkan tentang alam sekitar, pengguna, warisan untuk pendidikan dan kesenian.

Daripada menjadi Tapak Warisan Dunia, George Town mungkin akhirnya akan tersenarai sebagai 'Senarai Warisan Dunia Dalam Bahaya' Unesco jika badan itu memberi tindak balas kepada surat Dr Lim.

WHC menyatakan bahawa 'individu perseorangan, NGO atau kumpulan lain juga boleh menarik perhatian jawatankuasa untuk ancaman sedia ada. Jika isyarat itu wajar dan masalah cukup serius, jawatankuasa boleh membuat pertimbangan termasuk meletakkannya 'Senarai Warisan Dunia Dalam Bahaya'.

Kebimbangan utama Dr Lim adalah terhadap tapak arkeologi Sia Boey di seberang jalan dari Komtar, berhampiran Carnarvon Street, di pinggir kawasan warisan.

Dengan sejarah yang didokumenkan sejak 1804, Sia Boey (bermaksud 'hujung bandar' dalam bahasa Hokkien Pulau Pinang) adalah pasar borong dan hab runcit pertama bagi kumpulan perintis peneroka.


"Kami telah memberitahu kerajaan negeri beratus-ratus kali mengenai sejarah terkubur di Sia Boey.


"Tiada tindakan telah diambil dan Sia Boey masih dikenal pasti sebagai stesen pertukaran untuk dua monorel dan satu transit aliran ringan pada masa akan datang," katanya.

Dr Lim menegaskan bahawa menyedarkan Unesco akan membawa kepada langkah proaktif ke arah pemuliharaan warisan bandar, bukannya menyingkirkannya daripada Senarai Warisan Dunia.

Beliau tidak menghantar salinan kepada Jabatan Warisan Negara atau George Town World Heritage Inc (GTWHI) kerana menganggap tidak ada sebab untuk berbuat demikian.

"Saya juga terlupa untuk berbuat demikian. Tetapi saya tidak berfikir atau terlintas apa-apa kerana WHC secara terbuka menjemput sesiapa sahaja untuk memberi amaran kepada mereka tanpa sebarang keperluan memaklumkannya kepada kerajaan, " katanya.

Dr Lim berkata untuk memelihara nilai-nilai warisan George Town, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan penggunaan trem moden dan bas rapid transit, bukannya aliran LRT.

Semalam, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata laluan LRT berada di luar kawasan warisan justeru isu PIP mengancam status Tapak Warisan Dunia Unesco tidak patut timbul.

Pengasas bersama Tindakan Warisan George Town Mark Lay berkata garis panduan Unesco memerlukan GTWHI untuk memaklumkan kepada WHC mengenai ancaman yang sedia ada atau kemungkinan ancaman untuk status warisan bandar itu.

"GTWHI sepatutnya berfungsi secara bebas dan bekerja dengan masyarakat mengenai usaha-usaha pemuliharaan warisan oleh pihak bukan berkanun. Tetapi bagaimana ia boleh dilakukan secara bebas jika Guan Eng juga adalah Pengerusi GTWHI?, "soal beliau.

Menurut laman webnya, GTWHI telah ditubuhkan oleh kerajaan Pulau Pinang pada tahun 2010 untuk memastikan bahawa warisan George Town tidak akan hilang.

Artikel Sebelum

Johor Tak Haram Pokemon Go

Artikel Lain