suria

Dua Remaja Maut Dilanggar Kenderaan Empat Roda

KUANTAN: Dua sahabat maut selepas motosikal yangmereka naiki dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan diKilometer 38 Jalan Maran-Jerantut dekat Felda Jengka Satu pada Sabtu.    

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata, mangsa ialah penunggang motosikal berkenaan Mohamad Khairoul Nizam Zainuddin, 19, dan rakannya Mohamad Amirulmukmin Anuar, 17, masing-masing dari Felda Sungai Tekam Utara, Jerantut.  

"Dalam kejadian 1.15 tengah hari itu, mangsa yang dipercayai dalam perjalanan dari arah Jerantut menghala ke Maran telah terjatuh di atas jalan dengan tiba-tiba sebelum masuk ke laluan bertentangan. 

"Pada masa sama, pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang wanita, dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa," katanya pada Ahad. 

Beliau berkata, akibat kejadian itu Khairoul yang merupakan pelajar Kolej Vokasional Shah Alam, Selangor dan Mohamad Amirulmukmin, pelajar Kolej Vokasional Kuantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. 

Bagaimanapun, pemandu kenderaan berkenaan berusia 37 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tun Razak, Jengka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-Bernama

Kemalangan maut, dua remaja

Artikel Lain