Buang Ego Kalau Benar Sayangkan Parti, Pesan Veteran Umno Terengganu - Semasa | mStar

Buang Ego Kalau Benar Sayangkan Parti, Pesan Veteran Umno Terengganu

Ahmad Razif (kiri) dan Ahmad Said.

KEMAMAN: "Kalau benar sayangkan parti...bertenang, cukup-cukuplah menyalahkan sesama sendiri, selesaikan secara baik, ketepikan ego masing-masing."

Ia pesanan beberapa veteran Umno kepada Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berhubung kemelut terbaharu yang melanda politik Terengganu.

Ketika ditemui Bernama, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Datuk Abu Bakar Ali berpendapat perbincangan merupakan penyelesaian terbaik, malah beliau berharap Ahmad memberi peluang kepada Ahmad Razif mentadbir negeri mengikut cara tersendiri dengan dibantu barisan Exco dan Umno negeri. 

"Bantulah beliau (Ahmad Razif) mentadbir dengan baik. Jika beliau tidak mendapat bantuan daripada lain-lain, takkan berjaya. Beliau baru sahaja memegang pentadbiran selama dua tahun. Tolonglah beliau...ini tiba-tiba baru sahaja ambil alih dah diminta itu ini," kata Abu Bakar, yang menceburi bidang politik sejak 1970 dan menjadi Adun Kemasik bermula 1986 selama lima penggal.

"Masing-masing diberi peluang mentadbir. Setelah tamat giliran kita, berilah peluang untuk pengganti melaksanakan tanggungjawab pula. Andai kita asyik mecari silap dan mengheret persengketaan, siapa yang rugi?," tegasnya.

Bekas Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid yang mempunyai pendapat sama, berkata langkah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukanlah mudah kerana ia perlu melibatkan Istana dan imej kepimpinan parti.

"Seboleh-bolehnya biarlah sokongan padu terus diberi kepada Ahmad Razif dan inilah masa untuk bersatu padu bukannya mencari salah sesiapa," kata Rosol yang dilantik sebagai Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Sementara itu, penganalisis politik yang juga Pensyarah Jabatan Kenegaraan dan Peradaban Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Hamdan Aziz bersetuju dengan pandangan Ahmad Razif beberapa hari lepas bahawa ibu segala masalah adalah bilangan majoriti Barisan Nasional (BN) yang terlalu kecil.

Pada pilihan raya umum lepas, BN Terengganu hanya memenangi 17 kerusi manakala pembangkang pula 15 kerusi iaitu PAS 14 dan satu lagi dimenangi PKR.

"Jika seorang anggota BN keluar parti dan memihak kepada pembangkang, bilangan kerusi akan menjadi seri iaitu 16-16 dan memungkinkan pembangkang untuk menjadi pemerintah," katanya.

Hamdan berkata, beliau bagaimanapun yakin BN tidak akan mengambil risiko dengan mengadakan pilihan raya negeri dalam kedudukan politiknya yang tidak begitu stabil.

Buat masa sekarang, pemimpin di negeri ini haruslah berlapang dada dan berfikir secara rasional untuk tidak menyalahkan sesama sendiri selain tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh memburukkan lagi keadaan, katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu memberi ruang dan peluang kepada Ahmad Razif untuk terus berkhidmat sebagai menteri besar sehinggalah pilihan raya umum akan datang. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

Artikel Lain

Vardy catat rekod gol luar biasa EPL