suria

Vell Paari: Najib Enggan Jadi 'Budak Suruhan' Dr Mahathir

S. Vell Paari.

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak enggan menjadi "budak suruhan" kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana beliau prihatin terhadap rakyat, kata Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari.

"Tindakan berani Perdana Menteri membuktikan bahawa beliau mengambil berat demi kepentingan rakyat," kata Vell Paari.

Tambah Vell Paari, Malaysia menjadi sebuah negara dengan sistem ekonomi yang kukuh di bawah kepimpinan Najib, dengan menyatakan bahawa Najib telah mengabaikan arahan Dr Mahathir.

Beliau turut memberitahu bahawa menerusi kepimpinan Najib juga, Malaysia merupakan antara negara terawal yang memberikan sumbangan secara terus kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Kesimpulannya, keputusan yang dibuat Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadi Perdana Menteri demi semua rakyat Malaysia dan bukan sekadar 'budak suruhan' kepada Dr Mahathir, seharusnya dihargai rakyat di negara ini," kata Vell Paari.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Sabtu, merujuk kepada wawancara yang dikendalikan sebuah stesen televisyen Indonesia bersama Perdana Menteri.

Dalam wawancara tersebut, Najib berkata, Dr Mahathir melancarkan serangan terhadap beliau kerana enggan menjadi "proksi" kepada Dr Mahathir dan "perdana menteri boneka" tanpa kuasa untuk memimpin kerajaan.

Vell Paari

Artikel Lain