suria

Kerajaan Timbang Tambah Dana Yayasan Bantu Golongan Pendapatan Rendah

Najib berucap pada majlis Penghargaan dan Sambutan Ulang Tahun Kelima Yayasan Keusahawanan Wanita Cina Malaysia (MCWEF) di Menara Top Glove, Setia Alam pada Sabtu. Foto Bernama

SHAH ALAM: Kerajaan bersedia menimbang permohonan tambahan dana kepada yayasan yang bertanggungjawab membantu golongan berpendapatan rendah di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata, perkara itu akan diteliti dan diumumkan pada perbentangan Bajet 2017, Oktober ini.

"Saya ambil maklum ada permohonan daripada beberapa yayasan untuk menambah dana. Kita akan lihat dan pertimbangkan (permohonan) bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan," katanya.

Najib berkata, kerajaan sentiasa mengamalkan dasar inklusif dalam membantu golongan berkenaan terutama isi rumah yang berpendapatan 40 peratus terendah tanpa mengira kaum.

Beliau berucap pada majlis penghargaan dan sambutan ulang tahun kelima Yayasan Keusahawanan Wanita Cina Malaysia (MCWEF) di sini, Sabtu.

Jelasnya, bantuan itu diterjemahkan melalui kerjasama antara kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), termasuk melalui penubuhan MCWEF.

"Kerjasama seperti ini menjimatkan perbelanjaan kerajaan yang mana kita tidak perlu lantik pegawai, staf dan sewa pejabat...kerajaan cuma beri dana sahaja kepada yayasan yang bertanggungjawab menguruskan pinjaman," katanya.

Sehingga kini, katanya, MCWEF yang ditubuhkan sejak lima tahun lepas dengan dana RM30 juta, melahirkan 2,300 wanita yang berjaya dalam perniagaan masing-masing.

Najib dalam pada itu memuji komitmen diberikan usahawan wanita yang menerima pinjaman kewangan daripada MCWEF dengan 93 peratus daripada mereka berjaya membayar balik pinjaman kepada yayasan.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan kenaikan had pinjaman maksimum MCWEF daripada RM20,000 kepada RM30,000 dan penurunan kadar faedah pinjaman yang ditetapkan daripada lima peratus kepada empat peratus.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong dan pengasas yayasan itu, Tan Sri Lim Soon Peng. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain