suria

"Gali Kubur Sendiri"

Dr Mahathir dan beberapa bekas pemimpin Umno selepas mengadakan mesyuarat untuk menubuhkan sebuah parti baharu baru-baru ini.

BAGAN DATOH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas bekas pemimpin Umno yang membentuk parti serpihan dengan menyifatkan kumpulan itu hanya menggali kubur mereka sendiri dan tidak akan bertahan lama dalam politik Malaysia.

"Hanya kerana anda mempunyai perbezaan dengan seorang individu, anda membentuk sebuah parti baharu untuk kepuasan anda sendiri.

"Anda menggali kubur sendiri dengan berbuat demikian," katanya kepada perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh pada Sabtu.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata, hanya "orang kecewa" yang membentu parti serpihan tetapi Umno tidak dibina di atas kekecewaan.

"Umno telah ditubuhkan atas dasar perpaduan, kebersamaan dan kesatuan.

"Jika kita mempunyai masalah, kita akan menyelesaikannya antara diri kita sendiri. Itulah sebabnya parti ini kuat.

"Jika kita mempunyai perbezaan, silakan... jika anda ingin membenci seseorang, bencilah orang itu tetapi jangan pernah membenci parti. Masalah boleh diselesaikan," katanya.

Selain itu Ahmad Zahid berkata, pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar juga meninggalkan parti itu dan membentuk parti baharu tetapi beliau tidak berjaya dalam cita-cita politiknya.

"Banyak parti serpihan telah datang dan pergi tetapi Umno kekal kukuh dalam arena politik Malaysia," katanya.

Mengulas mengenai tindakan beberapa bekas pemimpin Umno, Ahmad Zahid berkata:

"Mereka yang mengalami menopaus politik akan meninggalkan dan menubuhkan parti baru.

"Jika parti politik mempunyai masalah, ia adalah normal. Organisasi juga mempunyai masalah. Jangan membentuk sebuah parti politik jika anda mengalami menopaus politik. Anda hanya menyokong sesebuah parti apabila anda mempunyai kedudukan, itu tidak betul. "

Beliau menggesa ahli-ahli parti untuk menghentikan kebencian terhadap Umno kerana "parti itu tidak bersalah."

Pada Khamis, bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mengemukakan permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk menubuhkan parti baharu yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad dan berharap ia akan diluluskan.

Ahmad Zahid Hamidi, Umno

Artikel Lain