suria

Lamborghini Kuning Hilang Ditemui Dekat Plaza Tol Rawang

SERDANG: Polis menemui Lamborghini Gallardo berwarna kuning berhampiran Plaza Tol Rawang, dua hari selepas ia dicuri daripada seorang ahli perniagaan berusia 31 tahun di Puchong kira-kira pukul 12.05 pagi, 26 Julai lalu.

Ketua Polis Serdang, ACP Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata polis menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk mengesan Lamborghini tersebut dan dua lelaki masing-masing berusia 52 tahun dan 47 tahun ditahan berkaitan kes itu.

Lelaki berusia 52 tahun itu ditahan di sebuah restoran dekat Jalan Radin Bagus, Sri Petaling kira-kira pukul 5 petang pada 28 Julai lalu susulan laporan dibuat pemilik kereta mewah tersebut.

Kemudian diikut penahanan seorang lelaki berusia 47 tahun di Plaza Tol Rawang pada pukul 8 malam hari yang sama.

Megat Mohd Aminuddin berkata kereta itu dicuri berikutan kemalangan di mana Lamborghini tersebut dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta BMW.

"Dia menghentikan keretanya. Seorang lelaki keluar dari kereta BMW dan memberitahu ahli perniagaan itu bahawa dia tiada wang untuk membayar kerosakan tersebut," katanya.

Megat Mohd Aminuddin berkata lelaki lain keluar dari kereta BMW itu selepas pemandu Lamborghini selesai berbincang dengan pemandu kereta tersebut.

"Selepas kedua-dua lelaki itu selesai berbincang, seorang lagi lelaki keluar dari kereta BMW tersebut dan menunjukkan parang ke arah ahli perniagaan berkenaan," katanya.

Megat Mohd Aminuddin berkata ahli perniagaan itu melarikan diri ke seberang jalan dan lelaki tersebut bertindak melarikan Lamborghini berkenaan.

Namun, katanya, Lamborghini itu sebenarnya bukan milik ahli perniagaan tersebut.

"Kami sedang membuat pemeriksaan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengesan pemilik yang sah," katanya.

Lamborghini Gallardo, BMW

Artikel Lain