suria

Tiga Lelaki Ditahan Bersama 5kg Dadah

Thiam Huat (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin dan syabu yang dirampas dalam kereta di Bandar Pusat Jengka Jumaat lepas, pada sidang media di IPK Pahang pada Isnin. - fotoBERNAMA

KUANTAN: Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan pengedaran dadah dengan penahanan tiga lelaki termasuk dua beranak di sebuah stesen minyak di Bandar Pusat Jengka, Maran pada petang Jumaat lepas.

Hasil penahanan mereka pada pukul 4.30 petang itu, polis berjaya merampas hampir lima kilogram dadah dianggar bernilai RM228,903 di dalam bonet belakang kereta mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Lam Thiam Huat berkata hasil maklumat awam, polis telah melakukan serbuan dan menahan sebuah kereta BMW yang dinaiki suspek berumur antara 24 hingga 46 tahun.

"Hasil pemeriksaan, polis telah menjumpai dadah jenis heroin seberat 4.5 kilogram dan syabu seberat 404 gram yang dianggarkan nilai keseluruhan RM228,903 di dalam bonet belakang kereta yang dinaiki mereka.

"Dadah itu dipercayai untuk dipasarkan di tiga daerah iaitu Maran, Temerloh dan Jerantut, jika terlepas di pasaran boleh membekal dadah kepada 15,000 penagih dadah," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Berdasarkan siasatan lanjut katanya, suspek memperoleh bekalan dari Pulau Pinang untuk diedar ke tiga buah daerah berkenaan.

Katanya, seorang daripada suspek juga mempunyai 17 rekod kesalahan lampau.

Kesemua suspek kini ditahan reman seminggu sejak Jumaat lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati. - BERNAMA 
dadah, PDRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain