suria

Peguam Negara Tidak Sepatutnya Pegang Kuasa Kehakiman Dan Perundangan

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria bercakap kepada media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kehakiman 2016 di sebuah hotel, Sabtu. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Peguam Negara tidak sepatutnya menjadi ketua kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) bagi memastikan badan kehakiman dapat dilihat sebagai sebuah badan yang benar-benar bebas, kata Ketua Hakim Negara.

Tun Arifin Zakaria berkata konflik kepentingan akan berlaku jika Peguam Negara mengetuai kedua-dua perkhidmatan ini kerana beliau adalah seorang ahli eksekutif, apabila pegawai-pegawai kehakiman berada di bawah badan kehakiman.

Dalam demokrasi, ketiga-tiga cabang kerajaan iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman mesti kekal bebas antara satu sama lain.

"Jika AG terus menerajui kedua-dua perkhidmatan, saya bimbang ia akan mewujudkan persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman," kata Arifin pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kehakiman Tahun 2016 di sini, Sabtu.

Tun Arifin berkata pihaknya telah menyerahkan kertas kerja berhubung pengasingan kuasa pentadbir hakim mahkamah rendah seluruh negara kepada SPKP.

Keputusannya bakal diketahui pada hujung tahun ini.

Dalam reaksi segera, Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali mengesahkan telah menerima cadangan itu dan masih mengkajinya dari sudut pandang Perlembagaan dan perspektif bersejarah.

"Kami akan memberikan pandangan daripada Jabatan Peguam Negara dan berbincang tentang perkara ini dalam mesyuarat SPKP seterusnya sebelum akhir tahun ini," katanya kepada The Star.

Pada masa sekarang, Peguam Negara merupakan ketua perkhidmatan kepada semua hakim mahkamah sesyen dan majistret seluruh negara.

"Mengikut Pekeliling 6/2010, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) telah melantik AG (Peguam Negara) sebagai ketua perkhidmatan dan saya tidak tahu apa sebabnya.

"Ini bermakna, pegawai kehakiman dan perundangan diletak di bawah AG, jadi nampak konflik kepentingan sebab (bidang kuasa) AG adalah pendakwaan, macam mana boleh jadi ketua kehakiman," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain