suria

Kerajaan Kaji Kurangkan 'Bunyi Bising' Pada Tahap Terendah

PETALING JAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang mengkaji keperluan menggubal undang-undang baharu bagi membendung pencemaran bunyi susulan sebahagian besar aduan yang diterima.

Tahun lalu, JAS telah menerima sebanyak 132 aduan berhubung isu ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim berkata, lebih separuh daripada laporan dibuat terhadap bunyi bising di tapak atau kawasan pembinaan dan komersil.

"Bunyi bising di kawasan kejiranan dan komersil adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan. Pencemaran bunyi dipanggil sebagai 'gangguan' di bawah Akta Kerajaan Tempatan," katanya dalam satu temu bual e-mel.

Dr Ahmad Kamarulnajuib berkata bagi pencemaran bunyi kenderaan motor, ia dikuatkuasakan oleh JAS bersama pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan melalui Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor).

Beliau berkata, undang-undang yang telah dikemaskini, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Bunyi Kenderaan Motor) menyaksikan had bunyi yang lebih ketat dicadangkan untuk mengawal pelepasan bunyi kenderaan bermotor.

"Kami dalam proses merangka sekarang.

"Garis panduan sedia ada untuk Kawalan Bunyi Alam Sekeliling akan dikaji semula untuk melihat sama ada undang-undang mengenai pencemaran bunyi boleh dilaksanakan," katanya.

Cadangan itu dibuat di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan kajian dijangka siap pada 2018.

Institut Kebisingan dan Getaran (IKG) Universiti Teknologi Malaysia telah dilantik untuk mengkaji semula garis panduan itu pada bulan Mei.

"Kajian itu, akan ditanda aras dengan amalan di negara lain untuk memastikan undang-undang yang dicadangkan itu dapat dilaksanakan dan dikuatkuasakan serta sebagai pembuka jalan ke hadapan dalam menguruskan pencemaran bunyi di negara ini.


"Tetapi kemungkinan kajian yang mengambil kira semua sumber pencemaran bunyi di bawah bidang kuasa jabatan dan Penilaian Impak Peraturan perlu dijalankan terlebih dahulu," katanya.

Dr Ahmad Kamarulnajuib berkata pencemaran bunyi telah menjadi lebih terkawal dengan adanya teknologi dan penyekatan bunyi.

"Kami akan terus memantau dan menguatkuasakan peraturan-peraturan pencemaran bunyi untuk kenderaan bermotor dan projek EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) di bawah bidang kuasa kami.

"Tetapi pencemaran bunyi boleh datang dari pelbagai sumber, jadi penguatkuasaan daripada semua agensi berkaitan adalah penting," katanya.

Pengarah IKG Prof Dr M. Salman Leong berkata kajian baharu ini adalah tepat pada masanya.

"Standard ISO baharu seperti apa yang menjadi kegusaran dan gangguan juga perlu dikemaskini.

"Kami akan melakukan satu lagi kajian mengenai pencemaran bunyi bising di mana tahap bunyi di kawasan bandar akan diukur selama enam bulan," katanya.

Beliau menambah, amalan terbaik bagi industri pembinaan juga akan digubal.

Beliau berkata undang-undang pencemaran bunyi mestilah mencari keseimbangan antara menyediakan kualiti hidup yang baik untuk rakyat Malaysia dan pertimbangan ekonomi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain