suria

YPM, Yapeim Biayai 400 Pelajar Miskin Lepasan SPM

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Rasah Datuk Abdul Karim Mustafa dan isteri Datin Nor Hafizza Husni beramah mesra bersama orang ramai sempena Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan di Kampung Kubang, Sabtu.

NILAI: Yayasan Pelajaran Mara (YPM) telah membelanjakan sebanyak RM1.4 juta bagi membiayai seramai 400 pelajar miskin lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Karim Mustafa berkata program yang dikenali sebagai Program Santun Tabung Pendidikan Melayu dan Bumiputera (Tanjak) itu mendapat kerjasama daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

"Bantuan yang kita berikan kepada 400 pelajar lepasan SPM ini berbentuk one off iaitu wang tunai bagi membiayai yuran pendaftaran kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi... Kita juga membuka peluang kepada mereka membentuk kemahiran insaniah melalui program kemasyarakatan.

"Sejak dilancarkan Mac lepas, YPM telah menerima dana sebanyak RM3 juta bagi membantu pelajar miskin Melayu dan Bumiputera yang telah dikenal pasti bagi menyalurkan keperluan pendidikan," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitiri Moh Ghayo Kek Kubang 2016 di sini, Sabtu.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung itu, Abdul Karim turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang dan barangan keperluan harian kepada 27 fakir miskin di sekitar kawasan Parlimen Rasah. 

Mengenai program bahasa Inggeris, Sains dan Matematik (ESM) Abdul Karim berkata, setakat ini YPM telah mengenal pasti sebanyak 20 sekolah rendah di Semenanjung bagi memperkasakan ESM di bawah Tanjak.

"Kita akan kenal pasti 30 sekolah rendah lagi termasuk di Sabah dan Sarawak menjelang hujung Ogos depan sebelum ia dilaksanakan secara serentak di seluruh negara. 

"Untuk setiap sekolah, kita memperuntukkan sebanyak RM8,000 hingga RM10,000 bagi melaksanakan program ini," katanya. -- Bernama 


YPM, Yapeim, Abdul Karim Mustafa

Artikel Lain