suria

JAIPk Sedang Kenal Pasti Lokasi Kumpulan Ajaran Sesat Imam Mahdi

Mohd Yusop Husin

PARIT: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sedang mengenal pasti lokasi sebuah kumpulan ajaran sesat 'Imam Mahdi' yang didakwa berpusat di negeri ini.

Pengarah JAIPk Datuk Mohd Yusop Husin berkata jabatan itu memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk menyalurkan maklumat mengenai ajaran sesat itu dan ajaran sesat lain untuk dibanteras.

"Dalam mengekang ajaran Imam Mahdi atau mana-mana ajaran yang menyeleweng, JAIPk telah menubuhkan jawatankuasa untuk menanganinya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri Datuk Dr Mohd Nizar Zakaria di sini, Sabtu.

Mohd Yusop mengulas laporan sebuah akhbar tempatan pada Sabtu lepas yang melaporkan kumpulan itu diketuai seorang lelaki yang mengaku sebagai Imam Mahdi bercadang mewujudkan kumpulan bersenjata digelar Tentera Mahdi.

Laporan itu menyebut kumpulan berkenaan sedang mempengaruhi orang ramai dengan menggunakan pengaruh seorang ulama untuk menarik orang awam untuk menyertai kumpulan berkenaan selain didakwa sedang mengumpulkan senjata untuk berperang.

Mengulas lanjut, Mohd Yusop berkata sememangnya mengikut ajaran Islam, Imam Mahdi akan turun ke bumi namun ia tidak sepatutnya mengajak kepada pemberontakan dan ketenteraan dan jelas tindakan kumpulan ajaran sesat itu sah menyeleweng daripada fakta.

Berhubung dakwaan terdapat tokoh ulama yang telah menyertai kumpulantersebut dan sedang mempengaruhi orang ramai, beliau berkata JAIPk sedang menyiasat perkara itu.

Dalam pada itu, beliau berkata JAIPk dengan kerjasama Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) telah merumuskan garis panduan untuk mengenal pasti ajaran sesat serta aktiviti perbomohan yang menyalahi hukum syarak.

Katanya garis panduan itu menunggu pengesahan daripada Mufti Perak Tan SriDr Harussani Zakaria serta Majlis Fatwa sebelum diedarkan kepada orang ramai. -Bernama

Artikel Lain