suria

Adenan Minta Sokongan Permohonan Sarawak Dapatkan Penurunan Kuasa

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem pada Jumaat meminta parti pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Sarawak supaya menyokong kerajaan negeri dalam permohonannya mendapatkan penurunan kuasa daripada kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata kerajaan negeri sedang berunding dengan kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan semula kuasa dan hak negeri ini seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Mengikut perjanjian itu, Malaya, Sarawak, Borneo Utara (kini Sabah) dan Singapura bersetuju dengan pembentukan Persekutuan Malaysia.

Perjanjian ini tidak boleh dipinda walaupun oleh Perlembagaan kerana ia merupakan perjanjian antarabangsa dan sebarang cubaan untuk meminda Perjanjian Malaysia 1963 adalah bercanggah dengan Perlembagaan," tegas beliau.

Adenan berkata demikian pada sambutan Hari Sarawak di Tebingan Kuching. Turut hadir isterinya Puan Sri Jamilah Anu.

Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Adenan berkata dalam tempoh 50 tahun lepas, kuasa yang diberi kepada Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963, sering terhakis.

Sekarang, kita hendak mendapatkan kembali hak asal yang dahulunya diberi kepada kita pada 1963 dan kerajaan Persekutuan memberi respons positif tentang perkara ini," katanya.

Sebuah jawatankuasa yang diketuai peguam negara dan peguam besar negeri akan menyediakan butiran terperinci tentang perkara itu, kata Adenan sambil berharap hasilnya dapat dilihat menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Menurutnya generasi muda mungkin tidak tahu tentang sejarah berhubung pembentukan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963.

"Hari ini, saya dapati anggota pembangkang juga hadir di sini. Saya sengaja mengundang mereka kerana kita semua bersatu hati, kerajaan dan pembangkang, dalam memperjuangkan hak kita sebagai rakyat Sarawak," katanya.

Adenan juga berkata kerajaan negeri tidak pernah bersetuju dengan idea untuk memisahkan Sarawak daripada Malaysia.

Dalam pasa itu, beliau menggesa rakyat Sarawak supaya berusaha untuk menikmati masa depan lebih baik dan kedudukan lebih sama rata dalam Persekutuan.

Setelah 50 tahun berlalu, katanya Sarawak tidak mahu lagi wujudnya sekolah yang terhumban ke dalam sungai, sekolah tanpa bekalan elektrik, sekolah tanpa bekalan air dan jalan raya yang tidak siap dibina serta kemudahan asas yang tidak lengkap.

Kalau setakat 20 atau 30 tahun, kita tidak kisah, tapi kalau sudah lebih 50 tahun, kita tidak boleh lagi bertolak ansur. Oleh itu, kita meminta kerajaan Persekutuan supaya lebih bersimpati kepada kita.

"Kita juga mempersoalkan hak mereka terhadap sumber kita memandang ia adalah sumber kita," katanya.

Sarawak, Persekutuan

Artikel Lain