suria

Aktivis Sastera, Bekas Wartawan Bernama Meninggal Dunia

Abdul Ahmad
KANGAR: Aktivis sastera dan bekas wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Abdul Ahmad meninggal dunia pada Khamis di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini akibat serangan angin ahmar.

Abdul, 67, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10.30 pagi, menurut anak sulungnya Abdul Sahli.

Ketika ditemui pemberita di perkarangan bilik mayat HTF, beliau berkata bapanya dimasukkan ke HTF pukul 7 pagi semalam selepas terjatuh di rumah mereka di Kampung Paya, Beseri, dekat sini.

Abdul Sahli, 42, berkata bapanya selama ini kekal aktif menulis dan menyertai aktiviti persatuan.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Shamsidah Sahid, 51, dan 11 anak berumur 12 hingga 42 tahun hasil daripada dua perkahwinan serta 14 orang cucu.

Jenazah Abdul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya pada 5 petang ini selepas disembahyangkan di Masjid Kampung Darat.

Semasa hayatnya, Allahyarham pernah menjadi editor majalah dan buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pensyarah sambilan dalam bidang penulisan dan penyuntingan di Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Akademi Seni Kebangsaan (ASK).

Allahyarham turut menghasilkan novel dan cerpen selain buku dan esei berbentuk kajian dan kritikan.
Aktivis sastera, Abdul Ahmad

Artikel Lain