suria

PM Langsung Tidak Dikaitkan Dalam Siasatan 1MDB - Rahman Dahlan

Datuk Abdul Rahman Dahlan
PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan menegaskan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak dilibatkan dalam siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana siasatan itu langsung tidak mengaitkan nama beliau.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berhubung dana pelaburan kerajaan itu.

"Kalau ada mana-mana pihak yang bersalah dalam siasatan ini, mereka perlu dihukum, tetapi yang paling penting ialah dalam dokumen yang telah dikeluarkan itu, perdana menteri tidak dilibatkan dalam siasatan itu.

"Malah, nama perdana menteri langsung tidak disebut," katanya pada sidang akhbar yang diadakan sempena lawatan sulung beliau ke pejabat Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) dan Talent Corp Malaysia Bhd di sini Khamis.

Abdul Rahman berkata siasatan itu adalah saman sivil, penyiasatan sivil kerana Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sedang cuba meyakinkan mahkamah untuk merampas aset berkenaan.

"Jabatan Kehakiman Amerika hanya menyiasat aset-aset yang dikatakan dibeli dengan menggunakan wang yang tidak halal," katanya.

Artikel Lain