suria

Doktor Malaysia Dapat Pengiktirafan Universiti Harvard

Dr Dhesi Baha Raja
PETALING JAYA: Pakar virologi Dr Dhesi Baha Raja telah diiktiraf sebagai antara barisan pelapis inovator kesihatan oleh Universiti Harvard.

Dr Dhesi yang juga Presiden Malaysian Integrated Medical Professionals Association (Mimpa) diberi anugerah untuk kerja-kerja kepintaran buatan dalam epidemiologi perubatan telah diiktiraf sebagai antara lapan pencipta muda di seluruh dunia dalam bidang itu oleh School of Public Health, Universiti Harvard, menewaskan lebih 200 permohonan lain.

Dr Dhesi yang mengetuai pasukannya yang terdiri daripada enam orang, telah membangunkan AIME (Kepintaran Buatan dalam Perubatan Epidemiologi), yang merupakan platform mudah alih penyakit ramalan menggunakan teknologi dan data untuk terlebih dahulu memberikan amaran kepada orang ramai mengenai kemungkinan wabak tiga bulan lebih awal dan mengesannya dalam lingkungan 400 meter.

Beliau memberitahu The Star Online bahawa beliau gembira kerana Malaysia diiktiraf atas sumbangannya kepada masyarakat perubatan antarabangsa.

Walaupun memenangi anugerah daripada banyak institusi di seluruh dunia, ini adalah anugerah pertama dari Amerika Syarikat yang diterima pasukannya.

"Saya rasa ia bagus kerana kami mahukan pengiktirafan kerja-kerja kami di bahagian ini (Amerika Utara)," katanya.

Tambahnya, beliau amat gembira kerana mempunyai peluang membentangkan pandangannya dalam pembentangan mengenai peranan kepintaran buatan dalam memerangi wabak penyakit.

Dr Dhesi kini berada di Brazil dalam tugasnya berkaitan kawasan panas denggi dan Zika serta terlibat dalam penyediaan kaedah pencegahan dalam menjelang Sukan Olimpik Rio pada Ogos.

Acara yang berlangsung di Universiti Harvard pada Sabtu itu bertujuan menggalakkan usahawan muda dan profesional untuk membangunkan penyelesaian bagi keperluan yang tidak dipenuhi dalam ekosistem penjagaan kesihatan global.

Dalam tweet pada Sabtu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengucapkan tahniah kepada Dr Dhesi di atas pencapaian beliau dan berharap ia akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk meneruskan masa depan mereka dalam kesihatan awam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain