suria

Abu Kassim Lawat Pejabat SPRM Seluruh Negara Sebelum Tamat Perkhidmatan

Tan Sri Abu Kassim Mohamed
ALOR SETAR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed akan melakukan lawatan ke semua pejabat SPRM di seluruh negara sebelum tarikh tamat perkhidmatannya pada 1 Ogos ini.

Beliau berkata lawatannya itu untuk bertemu dengan anggota dan pegawai SPRM bagi mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah membantunya dalam melancarkan pelbagai urusan oleh agensi itu.

Katanya beliau berharap anggota dan pegawai SPRM terus menjalankan tugas dengam baik serta mengambil tindakan berlandaskan undang-undang yang ditetapkan.

"Hari ini saya telah melawat (SPRM) dua negeri iaitu Perlis dan Kedah serta baki negeri lain akan saya lawat sebelum tarikh persaraan saya," katanya ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SPRM Kedah, di sini, Rabu.

Katanya beliau berkata akan meneruskan perjuangan dalam bidang tersebut selepas dilantik sebagai anggota fakulti (pakar jemputan) International Anti-Corruption Academy, Austria.

Beliau juga akan menyumbang pengalaman dan kepakaran dalam bidang tersebut sebagai perunding di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa mengesahkan Abu Kassim akan menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos ini.

Abu Kassim, 56, memohon untuk tidak meneruskan khidmat sebagai ketua pesuruhjaya walaupun kontrak beliau sepatutnya tamat pada 2018 dan persaraan wajib dalam perkhidmatan awam adalah pada tahun 2020.

Penamatan kontraknya selaras dengan subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan permohonan Abu Kassim untuk menamatkan perkhidmatannya itu dengan memberi sebulan notis.

Artikel Lain