suria

Malaysia-Singapura Meterai MoU Projek HSR Ikonik

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kanan) dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan dengan Menteri Penyelaras Bagi Infrastruktur dan Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan (kiri) di Kompleks Seri Perdana, Selasa. 
-fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura pada Selasa memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, sekali gus menandakan komitmen kedua-dua negara untuk menjayakan projek ikonik itu.

MoU berkenaan ditandatangani Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur Singapura, Khaw Boon Wan yang juga Menteri Pengangkutan negara itu, dengan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Projek HSR, yang disasarkan memulakan operasi pada 2026, akan mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

Landasan sepanjang 350 kilometer (km) itu akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan melebihi 300km sejam.

Kedua-dua kerajaan itu akan menawarkan tender antarabangsa pada Ogos 2016 untuk melantik rakan kongsi pembinaan bersama.

MoU itu merupakan hasil perbincangan mendalam antara kementerian  Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), serta kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura sejak projek itu mula diumumkan oleh Perdana Menteri kedua-dua negara pada Februari 2013.

MoU itu memuktamadkan keputusan penting perjanjian projek berkenaan, termasuk aspek teknikal, model komersial, pelepasan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ), urusan keselamatan, rangka kerja kawal aturan selain pengurusan projek.

Artikel Sebelum

Artikel Lain