suria

Pelanggan Rayani Air Boleh Fail Saman Bersama Dapatkan Bayaran Balik - Mavcom

KUALA LUMPUR: Pelanggan yang menuntut pampasan daripada syarikat penerbangan bermasalah, Rayani Air mungkin perlu memfailkan saman bagi mendapatkan bayaran balik, kata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmir Zain berkata terdapat tiga kaedah untuk pelanggan iaitu menuntut insurans perjalanan mereka, membuat tuntutan di Mahkamah Tuntutan Kecil atau datang bersama-sama memfailkan saman terhadap syarikat penerbangan itu.

"Realitinya Rayani mempunyai senarai panjang pemiutang selain pelanggan. Mahkamah perlu menentukan urutan senarai setiap pelanggan," katanya kepada pemberita.

Mavcom merupakan sebuah badan bebas yang ditubuhkan pada 1 Mac dibawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 untuk mengawal selia perkara ekonomi dan komersial dalam industri penerbangan awam.

Azmir berkata pelanggan boleh datang ke pejabat Mavcom untuk mendapatkan nasihat bagi memudahkan penyelesaian aduan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016.

"Dalam kes Rayani Air, ia sedikit istimewa. Mereka membuat kenyataan umum bahawa mereka tidak dapat menyelesaikan aduan tersebut," katanya.

Beliau berkata kebanyakan aduan terhadap Rayani Air adalah mengenai tuntutan bayaran balik.

Katanya, dalam kes syarikat penerbangan tidak dapat atau enggan menyelesaikan aduan, Mavcom boleh mencadangkan kaedah alternatif.

Namun, beliau tidak menjelaskan dengan lebih lanjut apakah langkah yang boleh diambil.

Pada 12 Julai lalu Rayani Air memohon maaf kepada pelanggan kerana masih tidak mampu membuat pembayaran semula ke atas tiket penerbangan pelanggan.

Menurut kenyataan itu, penarikan balik lesen ASL menyebabkan tiada pelabur mahu bekerjasama dengan mereka.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain