suria

PAS Tidak Terburu-Buru Sertai Pakatan Pembangkang Dr Mahathir

Abdul Hadi Awang

MARANG: PAS tidak akan terburu-buru membuat keputusan untuk menyertai pakatan pembangkang baharu yang akan diterajui bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pakatan baharu itu sebagai sebuah bahtera yang kelam kabut kerana hanya berhasrat mahu menumbangkan kerajaan sedia ada.

"PAS ada jawatankuasa pusat, jawatankuasa politik dan Majlis Syura Ulama yang akan meneliti dengan terperinci berhubung tindakan PAS sama ada mahu menyertai pakatan itu atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Rusila di sini, Jumaat.

Pada Khamis, Dr Mahathir mengumumkan satu pakatan pembangkang yang melibatkan sebuah parti baharu, PKR, DAP dan Amanah akan ditubuhkan untuk menentang Barisan Nasional pada PRU14 akan datang.

Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk parti itu kembali menjalin kerjasama dengan PKR dan DAP dalam memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang, Abdul Hadi menjelaskan PAS sentiasa berbaik dengan semua pihak termasuk kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata PAS hanya akan bekerjasama dengan pihak yang mahukan perubahan ke arah yang lebih baik dan menyokong dasar serta perjuangan PAS dalam menegakkan syiar Islam di negara ini. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain