suria

Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan Pengerusi MyWatch

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk R. Sri Sanjeevan untuk mencabar perintah tahanan reman 21 hari terhadapnya mengikut Akta pencegahan Jenayah 2013 (POCA).

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman dalam surat yang diberikan kepada Tetuan Gobind Singh Deo & Co menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi mendapati tiada ketidakaturan/kekhilafan oleh majistret dalam membenarkan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah itu.

Pada Khamis petang, hakim meneliti permohonan itu dan mendapati tiada sebab untuk dipertimbangkan, kata peguam Gobind Singh Deo kepada media pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas memfailkan permohonan Habeas Corpus bagimencabar perintah penahanan reman itu yang dianggap tidak mengikut undang-undang di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah, di sini. Isnin lepas, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan polis untuk menahanreman Sanjeevan, sehingga 31 Julai.   

Sebelum ini, Sanjeevan dan pemandunya, seorang warga India, ditahan reman di bawah Seksyen 506, Seksyen 384 dan 385 Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan ugutan jenayah dan peras ugut dekat Plaza Tol Nilai pada 22 Jun.   

Beliau ditangkap berikutan laporan polis dibuat oleh seorang pengadu yang mendakwa suspek mengugut menyebarkan fitnah terhadapnya menerusi laman sosial Facebook. -Bernama

Pemantau Jenayah Malaysia, POCA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain