suria

Maybank Semak Semula BR, BLR Berkuat Kuasa Hari Ini

KUALA LUMPUR: Kumpulan perbankan terbesar Malaysia, Maybank, akan menyemak semula kadar asasnya (BR) dan kadar pinjaman asas (BLR) berkuat kuasa Jumaat, seiring dengan penurunan kadar dasar semalaman  (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Maybank dalam satu kenyataan berkata BR akan diturunkan sebanyak  20 mata asas kepada 3.00 peratus setahun daripada 3.20 peratus setahun manakala BLRnya akan disemak semula kepada 6.65 peratus setahun daripada 6.85 peratus setahun.

Bagi perbankan Islam, BR dan kadar pembiayaan asas (BFR) akan dikurangkan sebanyak 20 mata asas masing-masing kepada 3.00 peratus setahun dan 6.65 peratus setahun daripada 3.20 peratus setahun dan 6.85 peratus setahun.

Seiring dengan pengurangan dalam BLR/BFR dan kadar asas, kadar deposit Maybank juga akan disemak turun sehingga 20 mata asas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Abdul Farid Alias berkata semakan berkenaan akan memberi faedah kepada peminjam memandangkan semual pinjaman atau pembiayaan ditambat kepada BR atau BLR/BFR juga akan diselaras.

"Semakan berkenaan akan membantu bakal peminjam dan sedia ada berdepan dengan persekitaran semasa yang mencabar serta membantu merangsang pertumbuhan perniagaan dan ekonomi dalam negara," katanya.

Beliau berkata langkah itu juga akan menyokong usaha kerajaan untuk memastikan ekonomi dalam negeri melalui pertumbuhan kukuh.

BNM pada Rabu membuat pengumuman menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada  3.00 peratus, penurunan pertama sejak 2009, bagi memastikan ekonomi kekal kukuh.

Semakan terakhir dalam BLR Maybank pada Julai 2014 apabila menaikkan 25 mata asas kepada 6.85 peratus setahun seiring dengan keputusan bank pusat pada masa itu untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus.
BLR, BR, OPR, Maybank

Artikel Lain