suria

Parti Baharu Bukti Malaysia Amal Proses Demokrasi - Rahman

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menyifatkan  pengumuman penubuhan parti baharu oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai proses demokrasi yang sihat.

Namun, Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata ia hanya akan melemahkan parti pembangkang dan mengukuhkan peluang BN untuk menang besar pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Kami akan terus berjuang untuk prinsip dan perjuangan kita. Kami akan mempertahankan rekod kami.

"Kami sudah melalui tempoh sukar dan cabaran yang besar sebelum ini dan Alhamdulillah, kami mampu mengatasi setiap satu daripadanya," kata beliau dalam kenyataan pada Khamis.

Dr Mahathir hari ini mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baharu yang akan menjadi sebahagian daripada komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi PRU ke-14.

Pakatan pembangkang yang baharu itu terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara sebagai anggotanya.

Abdul Rahman berkata BN akan mendekati orang ramai dan memberitahu mereka untuk tidak meletakkan kepercayaan kepada pakatan yang goyah dan diterajui seorang lelaki yang hanya mempunyai objektif untuk menjatuhkan perdana menteri sekarang, dengan apa cara sekalipun.

Beliau berkata gabungan itu tidak mempunyai agenda bersama untuk Malaysia.

"Apa yang mereka ada hanyalah 'hubungan bahaya' berdasarkan kekecewaan dan kegagalan yang amat sangat dalam memenangi hati rakyat. BN bercadang mematikan setiap langkah mereka.

"BN akan berdepan sesiapa sahaja, bila-bila masa dan di mana sahaja demi masa depan negara tercinta," katanya.

Artikel Lain