suria

Tapis Warga Asing Guna Sistem Saringan Awal Penumpang

ULAANBAATAR, Mongolia: Walaupun Kabinet telah menolak cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengeluarkan visa kepada rakyat Timur Tengah yang memasuki Malaysia, tapisan terhadap warga asing akan dilakukan melalui 'Sistem Saringan Awal Penumpang' (APSS) bagi mengekang kemasukan kumpulan militan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata APSS akan membolehkan maklumat lengkap mengenai warga asing termasuk pelancong diperoleh di tempat mereka berlepas dan pintu masuk secara "masa nyata".

Katanya sistem APSS yang menghubungkan data daripada pelbagai pihak seperti Interpol dengan jabatan penerbangan awam dan syarikat-syarikat penerbangan, juga membolehkan pihak berkuasa mengesan pasport dan dokumen perjalanan palsu.

"Kita sedang dalam peringkat formaliti pelaksanaan. Tiga perempat daripada negara di dunia telah melaksanakan sistem ini, dan kita akan bawa ke Majlis Ekonomi Negara dan Kabinet untuk diputuskan tarikh pelaksanaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas tiba di sini hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) kali ke-11.

Pada Rabu, Kabinet menolak cadangan MKN untuk mengeluarkan visa kepada rakyat Timur Tengah yang memasuki Malaysia.

Ahmad Zahid berkata keputusan itu dibuat kerana adalah tidak adil untuk mengeluarkan visa kepada pelancong dari Timur Tengah yang merupakan antara pelancong terbesar ke Malaysia dan menyumbang RM2.6 bilion kepada pertukaran mata wang asing.

Katanya, Jabatan Imigresen mempunyai sumbernya sendiri untuk mengekang kemasukan kumpulan militan Daesh ke Malaysia, sambil menambah kumpulan militan bukan hanya datang dari rantau berkenaan tetapi juga beberapa negara jiran.

Beliau juga berkata 138 militan yang ditahan di penjara dan depoh tahanan hasil kerjasama polis dengan Interpol dan agensi perisikan lain akan dipindahkan ke Pusat Tahanan Kemunting.

"Mereka akan diasingkan daripada banduan lain dan ditahan di blok khas di Kamunting. Ini untuk mengelak mereka (daripada) mempengaruhi tahanan lain," tambahnya.

Mengenai laporan bahawa Ketua Penolong Pengarah Anti Pengganas, Cawangan Khas (E8), Datuk Ayob Khan menerima ugutan bunuh daripada anggota kumpulan militan Daesh, ahmad Zahid berkata kerajaan tahu terdapat senarai mereka yang dikehendaki kumpulan itu.

"Kita tak ambil mudah. Kita ada pendekatan atasi ancaman ini dan kita beri penekanan kepada aspek keselamatan individu terbabit dan Cawangan Khas Bukit Aman akan teruskan pemantauan," katanya.

Artikel Lain