suria

Farhan Akan Teruskan Legasi Wayang Kulit Sri Asun

Ahli-ahli keluarga dan saudara mara menguruskan pengebumian Allahyarham Abdul Majid Md Noh yang meninggal dunia, Rabu, akibat paru-paru berair di tanah perkuburan Kampung Kunluang Binjai, Asun dekat Jitra, Khamis. Allahyarham merupakan seorang tokoh budaya Kedah dan Tok Dalang Kumpulan Wayang Kulit Sri Asun.

JITRA: "Saya akan meneruskan warisan wayang kulit Sri Asun yang ditinggalkan ayah saya," kata Muhammad Farhan anak kepada dalang Wayang Kulit Sri Asun, Abdul Majid Md Noh, 67, yang meninggal dunia akibat paru-paru berair pada Rabu.

Farhan berkata, arwah ayahnya yang juga Tokoh Budaya Kedah kerap berpesan kepadanya sebelum ini agar meneruskan warisan wayang kulit yang semakin pupus.

"Memang saya belajar sejak kecil lagi selalu ikut ayah saya pergi buat persembahan tapi saya tidaklah sepakar ayah saya. Namun saya akan cuba untuk belajar dan berusaha," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Khamis.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jitra pukul 4.45 petang semalam dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kunluang, Binjal di sini pagi Khamis.

Allahyarham cukup terkenal dengan dua watak utama yang selalu dimainkannya iaitu Etong dan Pak Tam dan sering membuat persembahan di luar negara seperti China dan Indonesia.

Farhan yang kini bekerja di sebuah syarikat swasta berkata, beliau juga akan menguruskan bengkel wayang kulit yang diusahakan arwah ayahnya sejak tujuh tahun lalu, dan yakin warisan tradisional itu tetap utuh walaupun ditelan zaman.

Seorang lagi anak arwah, Farah Farahim, 23, berkata ayahnya mula menunjukkan tanda-tanda tidak sihat sejak awal Ramadan lalu selepas membuat persembahan di Bukit Tambun, Pulau Pinang sebelum menerima rawatan di Hospital Jitra dan Kedah Medical Centre.

Bagaimanapun, semalam, keadaan arwah ayahnya semakin tenat dan meninggal dunia di sisi isteri dan anak-anaknya, katanya.

Allahyarham meninggalkan lima anak lelaki dan tiga perempuan. 

Sri Asun, Wayang Kulit

Artikel Lain