suria

MH17: MAS, MAB Diperintah Fail Pernyataan Pembelaan Sebelum 27 Julai

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Rabu memerintahkan Malaysian Airline System Berhad (MAS) dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) memfailkan pernyataan pembelaan mereka dalam saman yang difailkan waris kepada enam anak kapal pesawat MH17, sebelum 27 Julai ini.

Saman itu difailkan waris kepada enam anak kapal pesawat MH17 bagi menuntut  ganti rugi berhubung kecuaian dan pelanggaran kontrak terhadap MAS dan MAB kerana kehilangan anggota keluarga mereka dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, 17 Julai 2014.

Timbalan Pendaftar Mohamad Shafiq Mohd Sazali menetapkan tarikh itu bagi kedua-dua defendan memfailkan pernyataan pembelaan itu ketika kes berkenaan disebut di dalam kamarnya pada Rabu dengan dihadiri peguam S. Malini mewakili kesemua plaintif dan Lai Wai Fong mewakili defendan.

Lai memberitahu media bahawa Mohamad Shafiq juga menetapkan 29 Ogos ini untuk pengurusan kes itu di hadapan Hakim Datuk Hue Siew Kheng.

Pada 2 Jun lepas, kesemua waris kepada enam anak kapal itu menyaman MAS dan MAB serta mendakwa MAS telah cuai kerana melaksanakan penerbangan MH17 di kawasan yang diketahui berada di bawah konflik bersenjata yang menimbulkan risiko bahaya dan kematian.

Mereka mendakwa kedua-dua defendan melaksanakan penerbangan kurang daripada 1,000 kaki atas ruang udara yang disekat dalam penerbangan itu iaitu ketinggian yang tidak digunakan oleh pesawat lain.

Plaintif mendakwa MAS juga telah cuai kerana menghantar dan melaksanakan penerbangan MH17 di bahagian paling utara Koridor Penerbangan Komersial Ukraine, gagal mempunyai apa-apa sistem penilaian risiko dan gagal mengambil kira ketidakstabilan berkenaan penerbangan di bahagian timur Ukraine.

Mereka juga mendakwa MAS telah melanggar kontrak dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan si mati, gagal memastikan terdapat kakitangan untuk penilaian risiko, anak kapal penerbangan dan kakitangan operasi.

Mereka juga menegaskan bahawa MAS dan MAB bertanggungjawab di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Melalui Udara 1974, Konvensyen Montreal 1999 dan/atau Akta Undang-undang Sivil 1956 untuk kematian si mati.

Mereka memohon ganti rugi am untuk kesakitan dan penderitaan, ganti rugi khas, ganti rugi menurut Akta Pengangkutan Melalui Udara 1974, ganti rugi menurut Akta Undang-Undang Sivil 1956 dan ganti rugi bagi kecederaan psikiatri trauma, kejutan saraf dan gangguan tekanan trauma.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.

Dipercayai pesawat Boeing 777 itu telah ditembak jatuh tetapi sehingga hari ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab. - BERNAMA

MAS, MAB, MH17, pernyataan pembelaan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain