suria

Lelaki Malaysia Tendang Wanita Dipenjara 12 Bulan Di Singapura

SINGAPURA: Seorang tukang cuci Malaysia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan diperintahkan membayar pampasan sebanyak S$688 (S$1= RM2.95) kepada seorang wanita selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah kepada wanita itu.

Mahkamah Negara diberitahu bahawa Mohammed Hafian Suaily, 20, dari Malaysia berasa marah dengan Norhayati Mohammad Abas, 24, kerana wanita itu dipercayai telah menyebarkan khabar angin mengenainya dan keluarga tunangnya kepada jiran-jiran mereka.   

The Straits Times melaporkan Mohammed Hafian telah menendang Norhayati dibahagian berdekatan tulang belakangnya semasa wanita itu tidur di sebuah unit kediaman di Jalan Minyak, off Chin Swee Road, pada kira-kira 4 pagi, 6 Februari lepas.   

Menurut laporan itu, Timbalan Pendakwa Raya Michelle Lu dipetik sebagai berkata bahawa lelaki itu juga menarik rambut Norhayati bagi menggesanya bangun dari tidur.

Selepas wanita itu duduk, Mohammed Hafian menendang berdekatan mata kirinya yang menyebabkan penglihatannya kabur selain hidungnya berdarah.

Lelaki itu kemudian menampar wanita itu sambil memberitahunya jika tunangnya tidak pulang dalam masa sejam, Norhayati akan 'mati di tangannya'.   

The Straits Times memetik Hakim Daerah Low Wee Ping sebagai berkata bahawa apa yang dilakukan Mohammed Hafian adalah 'amat kejam'.   

Low berkata lelaki itu telah menyebabkan begitu banyak kecederaan kepada mangsa dan sehingga sekarang, beliau masih belum pulih terutamanya penglihatan beliau.

Mohammed Hafian berkata ketika kejadian itu, dia berasa amat marah terhadap Norhayati yang juga sepupu tunangnya, dan kemudian telah memohon maaf kepada wanita itu.

Mahkamah membenarkan Mohammed Hafian menangguhkan hukumannya sehingga 10 Ogos ini.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan kerana menyebabkan kecederaan parah, lapor The Straits Times.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain