Jangan 'Bunuh' Rayani Air - PPIM

Datuk Nadzim Johan

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) digesa memberi peluang kedua kepada Rayani Air atau suruhanjaya itu sendiri perlu membuka tawaran kepada pelabur baharu, bagi memastikan syarikat penerbangan tersebut kembali beroperasi.

Langkah tersebut bertujuan untuk mendapatkan suntikan dana dan mengambil alih pengurusan syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, Mavcom sepatutnya tidak terus 'membunuh' Rayani Air dengan membatalkan lesen syarikat penerbangan itu, yang sebenarnya memberi kesan buruk kepada semua terutama penumpang, pekerja dan industri penerbangan negara.

Menyifatkan tindakan Mavcom membatalkan lesen Rayani Air sebagai 'tergesa-gesa', jelas Nadzim, jalan penyelesaian boleh difikirkan bersama memandangkan antara sebab syarikat itu dibatalkan lesen adalah isu kewangan dan pengurusan.

"Batal lesen Rayani Air bukan satu cara yang bijak. Penumpang atau pekerja boleh buat laporan polis atau dakwa syarikat atau pemiliknya, tetapi lesen syarikat dah batal, tak boleh beroperasi dan alami kerugian, jadi macam mana nak selesai.

"Nilai sesebuah syarikat adalah pada lesennya. Kalau ada lesen, bolehlah hendak diselamatkan," katanya kepada mStar Online.

Sehubungan itu Nadzim berkata, Mavcom perlu memberikan peluang kedua kepada Rayani Air dengan bersyarat atau suruhanjaya tersebut boleh menentukan pilihan penyelesaian lain.

"Pemilik Rayani Air boleh terus dapatkan pelabur untuk ambil alih syarikat itu, dengan diletakkan beberapa syarat bersesuaian atau Mavcom boleh membuka peluang tawaran kepada mana-mana pihak untuk melabur, sama ada GLC (syarikat berkaitan kerajaan) atau syarikat swasta.

"Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Peluang ini membolehkan Rayani Air dihidupkan kembali dan seterusnya membayar segala hutang, termasuk bayaran balik tambang pelanggan dan tunggakan gaji pekerja," katanya sambil menambah usaha berkenaan turut membantu membersihkan imej penerbangan negara yang sedikit tercalar akibat pembatalan lesen itu.

Menurut Nadzim, pihaknya merancang untuk menghantar memorandum kepada Kementerian Pengangkutan, bagi meneruskan desakan supaya pembatalan lesen Rayani Air ditarik balik, termasuk membincangkan penyelesaian yang terbaik untuk semua pihak.

Jumaat lalu, pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran tampil memohon maaf kepada semua pelanggan dan pekerjanya kerana gagal melunaskan tunggakan gaji serta membuat bayaran balik tiket sebelum Aidilfitri, seperti yang dijanjikan.

Ravi berkata, penarikan balik lesen-lesen milik Rayani Air dibuat ketika urusan memuktamadkan pelaburan ke dalam syarikat penerbangan itu, sehingga mengakibatkan tiada pelabur yang mahu memberi kerjasama.

Pada 13 Jun lalu, Mavcom membuat keputusan membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) milik Rayani Air kerana telah melanggar syarat-syarat ASL dan kurang keupayaan dari segi kewangan dan pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

Pada hari sama, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) membatalkan Sijil Pengendali Udara (AOC) selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat berkenaan.

Dilaporkan, tunggakan gaji 415 pekerja Rayani Air selama tiga bulan berjumlah kira-kira RM4.5 juta.

Menerusi aplikasi kumpulan Whatsapp yang menghimpunkan sejumlah pelanggan Rayani Air, hampir 200 pelanggan membuat tuntutan bayaran balik tambang sekurang-kurangnya bernilai ratusan ribu ringgit.

Selain itu, timbul dakwaan sekumpulan pelanggan menerima cek tendang untuk bayaran balik tambang dan Ravi dilaporkan menafikan perkara tersebut, dan menjelaskan bahawa ia disebabkan akaun bank telah dibekukan.

Rayani Air

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Klik

Ayuh utamakan keselamatan pekerja! Jom sasar kurangkan kecederaan, penyakit di tempat kerja

KESELAMATAN dan kesihatan dalam kalangan pekerja perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Semua ada! Menu dunia, lokasi menarik lengkapkan pakej Australia... destinasi ‘wish list’ percutian anda

AUSTRALIA bukan sahaja mempunyai pelbagai lokasi menarik tetapi menawarkan pelbagai pilihan makanan halal yang cukup mudah diakses di mana sahaja.

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Wow! Usahawan dedah bagaimana SOP mampu jadikan bisnesnya lebih power

FRASA 'SOP' (Prosedur Operasi Standard) telah menjadi buah mulut dalam kalangan rakyat Malaysia sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dimulakan pada bulan Mac 2020.

Kajian semula tarif IWK amat diperlukan untuk penjagaan alam sekitar dan kebersihan awam

DALAM usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar ketika tempoh PKP.

Artikel Lain