suria

Wanita Maut, Suami Parah Motosikal Dilanggar Kereta

KOTA TINGGI: Seorang wanita maut manakala suaminya parah apabila motosikal mereka dilanggar sebuah kereta dari arah belakang di KM3, Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran simpang masuk ke Taman Kota di sini, Ahad.  

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata Soh Siew Kee, 57, yang membonceng motosikal itu, mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi.   

Suaminya, Tay Yu Chai, 62, yang parah di kepala dan bahu, juga dirawat dihospital sama.   

"Kejadian kira-kira 8.45 pagi itu dipercayai berlaku ketika suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 2, Jalan Lombong, di sini.   

"Kereta Perodua Myvi dipercayai terlanggar belakang motosikal Modenas Kriss yang dinaiki mangsa menyebabkan mereka terjatuh di jalan raya," katanya. 

Pemandu kereta itu, lelaki berumur 23 tahun, tidak cedera.   

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Bernama

Motosikal kemalangan, maut

Artikel Lain