suria

Kes Denggi Meningkat, Tiada Laporan Jangkitan Virus Zika

KUALA LUMPUR: Kes demam denggi di seluruh negara bagi tempoh dari 26 Jun hingga 2 Julai (minggu ke-26) mencatat peningkatan sebanyak 2,017 kes atau 13.5 peratus berbanding 1,777 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sembilan negeri menunjukkan peningkatan kes denggi berbanding minggu sebelumnya iaitu Selangor dengan 1,145 kes, Johor (165), Perak (75), Sarawak (68), Kelantan (51), Kedah (42), Pahang (39), Pulau Pinang (31) dan Perlis (5).

"Jumlah kumulatif kes demam denggi dari Januari hingga 2 Julai 2016, adalah sebanyak 57,782 kes berbanding 59,365 kes bagi tempoh yang sama tahun 2015, iaitu berkurangan sebanyak 2.7 peratus (1,583 kes)," katanya dalam kenyataan di sini Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata 10 kematian dilaporkan pada minggu ke-26 menjadikan kumulatif kematian adalah sebanyak 132 berbanding 165 kematian bagi tempoh sama tahun lepas.

Jumlah lokaliti wabak juga meningkat dari 647 lokaliti kepada 660 lokaliti bagi tempoh 26 Jun hingga 2 Julai, manakala lokaliti 'hotspot' pula menurun dari 74 lokaliti pada minggu sebelumnya kepada 73 lokaliti pada minggu yang sama.

Mengambil maklum bahawa kes demam denggi akan meningkat selepas musim perayaan, beliau menasihatkan orang ramai supaya peka terhadap gejala dan tanda-tanda demam denggi seperti demam, sakit otot dan tulang, ruam, sakit di belakang mata serta sakit kepala.

"Ini juga termasuk tanda-tanda amaran demam denggi seperti sakit perut, kerap muntah, resah, sangat lemah dan pendarahan gusi atau hidung.

"Sekiranya menghidap gejala dan tanda-tanda tersebut, segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran kerana pengesanan dan rawatan awal dapat menyelamatkan nyawa," katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 507 sampel darah diuji oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan sehingga 2 Julai ini bagi mengesan jangkitan Zika di negara ini, namun tiada jangkitan virus berkenaan dikesan.

Di samping itu, tiada pelawat yang dikesan dijangkiti virus Zika semasa saringan dilakukan di pintu masuk antarabangsa di negara ini, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain