suria

Lori Langgar Plaza Tol Ayer Keroh, Jurutol Cedera

MELAKA: Sebuah lori hilang kawalan dan melanggar Plaza Tol Ayer Keroh pada Jumaat hingga mencederakan seorang jurutol berusia 38 tahun.

Dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, lori lapan tan yang dipandu Mohd Aziman Mat Ya'acob, 34, dari Kuala Lumpur melanggar dua plaza tol.

Pemandu terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pengurus Plus Wilayah Selatan, Rozi Ibrahim berkata jurutol yang cedera itu dikenal pasti sebagai Nur Farazilah Yunus.

Beliau bagaimanapun berkata, Nur Farazilah hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kirinya.

"Nur Farazilah baharu sahaja melapor diri untuk bekerja pada pukul 6 pagi iaitu kira-kira sejam sebelum kejadian berlaku," kata beliau sambil menambah bahawa plaza tol lain kosong pada masa itu.

Rozi memberitahu anggaran kerugian bagi kerosakan kedua-dua plaza tol tersebut adalah kira-kira RM200,000.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata polis sedang meneliti rakaman CCTV bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata pemandu lori berkenaan telah ditahan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain