suria

Raya Ke-2: Pusat Beli-belah Jadi Tumpuan Ramai

Warga asing memenuhi sekitar kawasan KLCC pada hari raya kedua bagi menghabiskan cuti umum musim perayaan kali ini.

KUALA LUMPUR: Sambutan Aidilfitri pada hari kedua menyaksikan ibu kota bertukar wajah apabila beberapa lokasi tumpuan dipenuhi ribuan warga asing, terutama dari Bangladesh dan Indonesia, selain rakyat tempatan dan pelancong.

Antara lokasi pilihan seperti pusat beli-belah, sekitar Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC), Bukit Bintang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Ianya bukanlah fenomena baharu, malah seperti menjadi tradisi ketika musim perayaan, mereka akan bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur bagi memenuhi masa terluang.

Kebanyakkan stesen pengangkutan awam yang lengang berbanding hari biasa juga dilihat memudahkan mereka yang bercuti sepanjang musim perayaan ini bergerak di sekitar bandaraya.

Warga asing dari Timur Tengah merakamkan saat ketika berkunjung ke taman rekreasi KLCC, pada Khamis.

Selain warga asing, penduduk kota yang tidak sempat pulang ke kampung juga dilhat mengambil kesempatan cuti umum bagi meraikan Aidilfitri bersama keluarga.

Bagi Norma Ibrahim, 54, yang berasal dari Kelantan, dia terpaksa mengambil keputusan untuk meraikan Syawal kali ini di sini demi anak tersayang yang tidak dapat pulang ke kampung kerana tugas yang digalas.

"Ini merupakan pengalaman pertama saya menyambut hari raya di Kuala Lumpur. Sudah tentu, beraya di kampung lebih meriah berbanding menyambutnya di Kuala Lumpur. Tapi tidak mengapa, asalkan saya dapat menyambutnya bersama anak-anak tersayang," katanya.

Norma yang turut terkejut melihat pusat beli-belah yang dikunjungi dipenuhi warga asing berkata, dia akan pulang ke kampung menjelang raya keenam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Lokasi sekitar pusat beli-belah yang dipenuhi dekorasi sempena Aidilfitri mendapat tumpuan ramai terutama warga asing.

Sementara itu, pelancong dari Australia, Cathy Zijic, turut menyatakan sambutan Aidilfitri dapat dirasai dengan dekorasi suasana kampung berserta ketupat di beberapa lokasi pusat beli-belah di sekitar ibu kota meskipun ia merupakan kali pertama dia berkunjung ke sini.

Bagaimanapun, tinjauan mStar online ke beberapa kawasan lain seperti Taman Tasik Titiwangsa pada sebelah pagi mendapati taman rekreasi berkenaan, lengang.

Suasana lengang di Taman Tasik Titiwangsa pada waktu pagi sepanjang musim perayaan kali ini.

Menurut Zummi Ayob, 37, yang menjalankan perniagaan perkhidmatan sewa basikal selama empat tahun di situ berkata, kebanyakkan pelanggannya terdiri daripada kaum Cina dan India sejak Rabu.

"Tidak dinafikan keuntungan perniagaan saya berkurang sejak tiga hari lalu berbanding hari-hari biasa sebelum ini. Mungkin kerana ramai orang masih berada di kampung. Hujung minggu ini mungkin akan kembali seperti biasa", katanya.

KLCC, Bukit Bintang, Aidilfitri

Artikel Sebelum

Artikel Lain