suria

Penurunan Kuasa Kepada Sarawak Dijangka Selesai Menjelang Akhir Tahun - Adenan

Adenan Satem.

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menjangka rundingan berhubung penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri selesai menjelang akhir tahun. 

"Ini melibatkan rundingan yang sangat rumit, Saya tidak menjangka keputusan dicapai lebih awal tetapi saya fikir sesuatu akan diumumkan sebelum akhir tahun ini.

"Bukan semua keputusan tetapi rundingannya sangat rumit melibatkan isu undang-undang, isu politik dan sebagainya. Tetapi saya mengharapkan satu atau dua keputusan dicapai pada akhir tahun ini," kata beliau pada sidang media semasa majlis Rumah Terbuka beliau di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) di sini, Khamis.

Ketika ditanya apakah kedua-dua keputusan itu, Adenan berkata, ia berkaitan penurunan kuasa pentadbiran selanjutnya dan perwakilan kuasa.

Pada Isnin (4 Julai), beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Adenan berkata, beliau sangat gembira kerajaan persekutuan memberi sambutan positif semasa mesyuarat tersebut.

"Semasa mesyuarat, saya memperincikan keputusan kerajaan Sarawak berhubung isu-isu ini, beliau (Najib) mencadangkan supaya kami menubuhkan jawatankuasa pegawai persekutuan terutama peguam, Peguam Negara dan Peguam Besar Negeri Sarawak.

Berhubung dengan kepentingan Sarawak dalam jawatankuasa ini, kami akan diwakili oleh Peguam Besar Negeri dan penasihat undang-undang negeri Datuk J. C Fong," kata beliau. 

Adenan berkata, jawatankuasa itu akan mengadakan rundingan selepas Hari Raya, dan kemudian melaporkan balik kepada Najib dan beliau mengenai hasil mesyuarat. - Bernama

Adenan Satem

Artikel Lain