suria

Salleh Bidas Mahathir Kerana Tuduh Pengundi Sebagai Korup

Salleh Said Keruak.

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membidas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menuduh pengundi dalam pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini sebagai korup.

Beliau berkata, Dr Mahathir mungkin terlupa apa yang beliau pernah kata dan lakukan ketika menjadi Perdana Menteri untuk mendorong pengundi mengundi Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, sebagai contoh apabila Kelantan jatuh kepada PAS-Semangat 46 pada 1990, Dr Mahathir membatalkan peruntukan RM600 juta yang diluluskan oleh kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf sistem bekalan air untuk Kelantan.

"Dr Mahathir ketika itu berkata jika mereka mahu peruntukan RM600 juta, maka dalam pilihan raya umum akan datang, mereka mesti mengundi BN," katanya menerusi posting dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.my, pada Selasa.

Salleh berkata, Dr Mahathir juga mungkin terlupa bahawa ada dua cara untuk memotivasi seseorang bersandarkan kepada strategi memberi ganjaran dan hukuman atau dikenali sebagai "carrot and stick strategy."

"Pengundi di seluruh dunia akan mengundi berdasarkan bagaimana ia memanfaatkan mereka daripada segi kewangan. Situasi ini berlaku walaupun di Barat yang lebih maju seperti di Eropah dan Amerika Syarikat.

"Justeru, jika mereka mahu berada dalam kedudukan lebih baik daripada segi kewangan dengan menyokong anda, maka mereka akan menyokong anda. Strategi lain, ialah menghukum atau mengugut untuk menghukum jika mereka enggan menyokong anda," kata Salleh.

Memetik contoh keadaan menjelang pilihan raya umum 1999, Salleh berkata Dr Mahathir muncul dalam siaran televisyen ketika itu dan berkata jika BN tidak memperoleh majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum tersebut, maka Kerajaan Persekutuan tidak dapat menjamin keselamatan rakyat Malaysia.

Salleh mempersoalkan bagaimana Dr Mahathir boleh menuduh pengundi sebagai korup sedangkan beliau sendiri menggunakan taktik tertentu untuk mempengaruhi pengundi supaya mengundi BN. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain