Sertai IS, Kumpulan Ekstremis Bercanggah Dengan Islam - Semasa | mStar

Sertai IS, Kumpulan Ekstremis Bercanggah Dengan Islam

Tuan Ibrahim Tuan Man
PETALING JAYA: Menyertai kumpulan Negara Islam (IS) dan semua kumpulan ekstremis lain adalah dilarang kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sikap melampau adalah bercanggah dengan dakwah para nabi dan agama lain juga melarang sesuatu yang melampau.


"Dalam perjuangan agama dan melaksanakan Islam, umat Islam tidak boleh gopoh-gapah dan tidak boleh mengambil jalan mudah.

"Mereka yang inginkan kemenangan yang cepat akan bertindak secara agresif dan meminggirkan segala hukum larangan Islam sehingga menimbulkan gambaran yang salah terhadap Islam," katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Kenyataan ini susulan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan dua daripada 15 yang ditangkap berkaitan pengeboman di Puchong adalah anggota polis dan mempunyai kaitan dengan IS.

Katanya  apa yang berlaku ini telah menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

"Ia juga sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan rakyat terhadap PDRM.

"Namun, sekarang waktu untuk bersatu-padu dan saling mempercayai, bukan saling salah-menyalahi," katanya.

PAS berharap KPN dan PDRM dapat mengambil penambahbaikan segera, memperbaiki segala kelemahan dalam pemantauan dan membuat persediaan terbaik agar pasukan sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan tertinggi dalam membendung IS.
pelampau , ekstremis , serangan IS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain