suria

Shafie Apdal Umum Keluar Umno

PETALING JAYA: Naib Presiden Umno, Datuk Mohd Shafie Apdal mengumumkan keluar parti itu berkuatkuasa serta merta.

Tindakan itu diambil bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu susulan keputusan Majlis Tertinggi Umno menggantung keahliannya minggu lalu.

Pengumuman itu dibuat di hadapan ribuan penyokongnya yang berada di dewan dan pekarangan kediamannya di Kampung Bubul Lama, Semporna, Sabah.

"Perjuangan kita akan diteruskan di Sabah dan di semenanjung untuk membela bangsa dan negara," katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Semporna.

Sebelum ini, Shafie memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan MT Umno itu sebaik pulang dari mengerjakan umrah, bagaimanapun ia ditangguhkan sehingga beliau pulang ke kampung halamannya.

Selain hukuman terhadap Shafie, MT Umno telah memecat Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beberapa bulan lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah  mengumumkan untuk keluar Umno.

Kata Shafie, keputusan untuk keluar daripada Umno dibuat selepas berfikir panjang dan mengambil kira pelbagai perkara.

"Saya dah fikir panjang, tuan-tuan nak saya letak jawatan. Jadi saya berhenti serta-merta.Selama ini saya bertahan, bersabar," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih sayangkan Umno, walaupun parti itu telah bertindak menghinanya.

"Jangan hina saya, jangan zalimi saya dalam Umno," katanya lagi.

Ucapan Shafie turut disiarkan secara langsung menerusi laman media sosial, Facebook beliau.


Shafie Apdal, Umno

Artikel Lain