suria

"Saya Mahu Penjelasan!" - Mahadzir Lokman

Sisa konkrit Puncak Purnama yang telah roboh dibawa dan diletakkan di hadapan Balai Seni Visual Negara.

KUALA LUMPUR: Susulan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan arca Puncak Purnama karya Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Syed Jamal, pihak Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) tampil meminta penjelasan.

Pengerusi LPSVN, Datuk Mahadzir Lokman berkata, penjelasan pihak bertanggungjawab perlu untuk meredakan situasi yang menimbulkan kemarahan ramai itu.

Menurutnya, karya yang pernah menjadi salah satu mercu tanda negara suatu masa dahulu seharusnya dihormati, dan bukan sewenang-wenangnya diperlakukan begitu sahaja.

"Karya-karya seni negara seperti ini sepatutnya dipelihara dan dihormati untuk penghayatan oleh generasi akan datang, bukannya dirobohkan tanpa apa-apa perbincangan," katanya.

Karya yang dirobohkan itu dibina oleh United Malayan Banking Corporation Finance (UMBC) pada 1986 dan telah diserahkan kepada DBKL pada tahun yang sama.

Jumaat lalu, DBKL merobohkan arca Puncak Purnama itu, yang didakwa disebabkan ia terlalu tua dan tidak dapat dibaiki.

(Dari kiri) Syed Nabil, Hamidah, Mahadzir dan Zain.

Tindakan DBKL itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan orang ramai terutama penggiat seni.

Ketika ditanya mengenai tindakan susulan yang bakal diambil, Mahadzir berkata, pihaknya masih dalam proses perbincangan bagi menuntut ganti rugi yang dihadapi akibat tindakan merobohkan arca berkenaan. 

Bagaimanapun, katanya, cadangan untuk membina semula arca Puncak Purnama itu akan diteruskan jika pihaknya mendapat dana yang mencukupi.

Turut hadir dalam sidang media, anak lelaki dan isteri Allahyarham Syed Ahmad iaitu Syed Nabil dan Datin Hamidah Mohd Noor, serta bekas Pengerusi UMBC, Tan Sri Zain Azahari.

Ketika ditemui, Syed Nabil menyifatkan tindakan itu sebagai tragedi yang membuat keluarganya sedih, selain mendakwa jasa dan reka cipta bapanya untuk negara itu tidak dihargai.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata,  sisa konkrit puncak purnama yang sudah roboh itu telah dibawa dan diletakkan di hapadan Balai Seni Visual Negara untuk tatapan ramai.

Untuk rekod, kerja-kerja perobohan dua bangunan arca Puncak Purnama tersebut telah dimuatnaik di laman Facebook oleh komuniti kurator tanah air pada Jumaat.

Terdahulu, Syed Nabil dilaporkan berkata, alasan merobohkan arca itu tidak boleh diterima kerana ia adalah legasi bapanya kepada negara dan  satu daripada hanya tiga arca awam yang terdapat di Kuala Lumpur.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain