suria

Serangan Dhaka: Dua Warga Bangladesh Maut Pernah Belajar di Monash - KPN

Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR: Dua warga Bangladesh yang maut dalam serangan di Dhaka pernah belajar di Universiti Monash Malaysia, kata Ketua Polis Negara.

Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun berkata, polis tidak dapat mengesahkan sama ada mereka merupakan lelaki bersenjata atau mangsa.

"Saya tidak boleh mengesahkan bahawa mereka adalah lelaki bersenjata atau tidak, malah pihak berkuasa Bangladesh pun tidak dapat mengesahkannya.

"Sila berhati-hati untuk mempercayai laporan yang tidak sahih di media sosial," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini, Isnin.

Khalid berkata, polis akan menyiasat aktiviti kedua-dua individu berkenaan sekiranya disahkan mereka terlibat dalam serangan itu.

"Kita akan periksa setiap pergerakan mereka di sini tetapi saya tidak fikir mereka dipengaruh semasa berada di negara ini," katanya.

Pada Jumaat malam, tujuh militan IS melancarkan serangan di sebuah kafe di Dhaka, Bangladesh, mengakibatkan 22 orang termasuk dua anggota polis terbunuh.

Pasukan keselamatan menembak mati enam lelaki bersenjata semasa pengepungan di kafe Holey Artisan Bakery.


Monash

Artikel Lain