suria

Lemang Periuk Kera Jadi Pilihan Juadah Raya Warga Kuantan

KUANTAN: Lemang periuk kera kini menjadi pilihan warga di sini sebagai juadah Aidilfitri nanti selain ketupat dan lemang biasa yang dimasak di dalam buluh.

Peniaga lemang Abdul Rahim Abdul Ghani, 37, berkata beliau mula berniaga lemang periuk kera pertama kali pada Ramadan tahun ini dan mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada pelanggan terhadap lemang buatannya itu.

Abdul Rahim berkata setakat ini, beliau sudah mendapat tempahan raya kira-kira 500 biji lemang periuk kera dan lebih 200 batang lemang buluh daripada pelanggan sekitar sini sebagai juadah pada pagi raya nanti.

"Sepanjang bulan puasa ini, lemang periuk kera ini paling cepat habis dijual dengan harga mengikut saiz kecil hingga besar antara RM1 dan RM4. Boleh dikatakan setiap hari lemang periuk kera ini habis dibeli pelanggan," katanya.

Beliau berkata secara purata, kira-kira 200 biji lemang periuk kera habis dijual manakala lemang buluh terjual kira-kira 40 batang setiap hari.

Ditanya penyediaan memasak lemang periuk kera, Abdul Rahim berkata kelongsong periuk kera perlu dibersihkan sebaik mungkin sebelum memasukkan pulut dan santan ke dalam kelongsong berkenaan untuk dikukus.

"Lemang periuk kera ini kena kukus bukan bakar macam lemang biasa dalam buluh ini. Mula-mula kita masukkan pulut dalam kelongsong periuk kera ini kemudian baru kita tuangkan santan di atas pulut sebelum dikukus.

"Isteri saya yang ditugaskan menyediakan lemang periuk kera ini sementara saya menumpukan kepada kerja membakar lemang buluh ini," katanya.

Beliau berkata kelebihan lemang periuk kera ini adalah rasanya yang sangat berlemak berbanding lemang biasa yang dibakar dalam buluh.

"Sesiapa yang belum pernah rasa lemang periuk kera ini, sekali makan pasti hendak lagi dan akan datang cari lagi lemang ini, sehinggakan membuat tempahan kepada saya untuk sambutan hari raya nanti," katanya. - BERNAMA

lemang periuk kera

Artikel Lain