suria

Aplikasi 'WeChat' Antara Medium Pedofilia Cari Mangsa

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Aplikasi 'WeChat' antara aplikasi sosial yang paling kerap digunakan oleh pelaku pedofilia untuk mencari mangsa pada 2015, berbanding laman media sosial lain.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Ong Chin Lan berkata dalam tempoh itu, sebanyak 138 daripada 184 kes kanak-kanak mengenali pelaku pedofilia di seluruh negara melalui aplikasi WeChat.

"Ini diikuti berkenalan di Facebook sebanyak 35 kes, WhatApps enam kes manakala selebihnya BeeTalk," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini, Jumaat.

Beliau berkata aplikasi berkenaan memudahkan kanak-kanak di bawah umur untuk menggunakannya mencari kenalan tanpa sebarang tapisan serta tidak perlu 'jemputan' daripada luar.

Apabila mereka menggunakan aplikasi ini tanpa sebarang kawalan orang dewasa (mereka) akan mudah dieksploitasi secara negatif oleh pelaku pedofilia.

"Melalui WeChat pelaku pedofilia boleh mencari orang berdekatan, menapis berdasarkan jantina dan kemudian menghantar mesej kepada seberapa ramai kanak-kanak yang boleh," kata Ong.

Katanya apabila kanak-kanak mula memasuki media sosial mereka akan terdedah dengan individu yang tidak dikenali seperti pelaku pedofilia yang kemudiannya mula 'menawan' mereka menggunakan ayat-ayat manis bagi mendapatkan kepercayaan kanak-kanak itu.

"Susulan itu, selepas berkenalan dengan pelaku, mangsa kemudiannya akan dibawa keluar berjalan sebelum dirogol.

"Mereka (pelaku pedofilia) menyasarkan kanak-kanak berumur lingkungan di antara 12 hingga 15 tahun untuk menjadi mangsa kegiatan yang tidak bermoral itu kerana dalam usia begini, mereka dilihat seperi baru mendapat kebebasan daripada kawalan ibu bapa," katanya.

Menurut Ong, pelaku pedofilia dikelaskan dalam tiga kategori iaitu meminati kanak-kanak lelaki, meminati kanak-kanak perempuan dan menyukai kedua-dua jantina.

"Saya menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak di bawah umur agar memantau tingkah laku anak mereka ketika melayari internet supaya tidak mudah berkenalan dengan orang asing di media sosial.

"Mereka (kanak-kanak bawah umur) perlu diberi perhatian dan diberi didikan agama bagi mengelakkan mereka ini menjadi mangsa kepada pelaku pedofilia," katanya.


weChat, pedofilia, ACP Ong Chin Lan

Artikel Lain