suria

Keputusan Batal Lesen Rayani Air Muktamad - Mavcom

PETALING JAYA: Keputusan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) milik Rayani Air adalah muktamad, kata jurucakap suruhanjaya itu.

Ini bermakna syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu perlu membuat permohonan semula untuk mendapatkan lesen baharu, bagi membenarkannya beroperasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

Menurut jurucakap Mavcom kepada mStar Online, pembatalan lesen berkenaan tidak boleh dibuat rayuan.

Tambah jurucakap itu, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Rayani Air pada Jumaat.

"Kami telah memberitahu Rayani Air bahawa keputusan kita membatalkan ASL milik Rayani Air adalah muktamad dan tidak boleh dirayu," katanya dalam satu kenyataan menerusi emel kepada mStar Online.

Pada Jumaat, mStar Online melaporkan pengasas bersama Rayani Air, Datuk Karthiyani Govindan sebagai berkata, nasib kira-kira 400 pekerja Rayani Air mampu diubah di tangan Mavcom menerusi ‘surat jaminan’, bagi membolehkan syarikat penerbangan itu beroperasi semula.

Karthiyani yang juga Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia Rayani Air mendakwa walaupun lesen telah dibatalkan tetapi beberapa pelabur masih berminat membeli saham syarikat itu.

Bagaimanapun kata Karthiyani, jaminan daripada Mavcom diperlukan untuk meyakinkan pelabur menerusi dokumen 'hitam putih' yang membenarkan Rayani Air diterbangkan semula sekiranya terdapat bukti suntikan dana.

Surat rayuan kepada Mavcom dan DCA telah dikemukakan pada Isnin lalu.

Mengenai 'surat jaminan', jurucakap Mavcom berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permintaan tersebut daripada Rayani Air.

"Merujuk kepada surat jaminan, kami tidak menerima sebarang permintaan, dan ia bukan sesuatu yang kami akan penuhi," jelas jurucakap itu.

Selain Mavcom, Rayani Air turut berharap untuk memperoleh 'surat jaminan' daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), berikutan Sijil Pengendali Udara (AOC) milik syarikat dibatalkan oleh badan itu.

Karthiyani mempertahankan kenyataan Rayani Air sebelum ini bahawa proses mendapatkan pelabur berpotensi telah sampai 'kemuncak' semasa pengumuman mengenai pembatalan ASL dan AOC.

Katanya, pembatalan pada saat akhir itu memberi kesan kepada 415 pekerja Rayani Air yang mengharapkan gaji dibayar, dengan sebahagian besarnya akan menyambut Aidilfitri hanya beberapa hari lagi.

Pada 13 Jun lalu, Mavcom menjelaskan bahawa pembatalan ASL itu disebabkan Rayani Air melanggar syarat lesen berkenaan, selain tidak mempunyai keupayaan kewangan dan pengurusan untuk terus beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial.

Pada hari sama, DCA pula membatalkan AOC milik Rayani Air selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat itu.

Mavcom yang ditubuhkan pada 1 Mac 2016 di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 berperanan mengawal selia perkara ekonomi yang berkaitan dengan industri penerbangan awam di negara ini. 

Mavcom, ASL, Rayani Air

Artikel Sebelum

Peter Bellew Intai KLIA2

Artikel Berikut

Artikel Lain