suria

F42, F422 Hadiah Suami Buat Pengasas Dnars

Pengasas produk kecantikan dan kesihatan Dnars, Faziani Rohban Ahmad bersama suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim.
PETALING JAYA: Pengasas produk kecantikan dan kesihatan Dnars, Faziani Rohban Ahmad menerima hadiah daripada suami apabila memenangi bidaan nombor pendaftaran kenderaan F42 dan F422, nombor baharu bagi Putrajaya.

Kedua-dua nombor itu bermaksud ‘FAZ’ dan 'FAZZ', merujuk kepada nama panggilan mesra usahawan kosmetik itu di kalangan teman-teman rapat.

Ahmad Shah Rizal Ibrahim berkata, berita gembira itu disampaikan kepada isterinya, Faziani selepas berbuka puasa pada Jumaat malam.

"Nombor plat F42 dan F422 adalah hadiah saya buat isteri tercinta sebagai penghargaan di atas perkongsian susah senang kami sebagai pasangan suami isteri dan ahli perniagaan.

"Banyak dugaan dan cabaran dalam rumah tangga dan perniagaan ditempuhi kami bersama. Kebanyakannya hanya kami berdua yang tahu dan saya amat menghargai pengorbanan dan sokongan dia," katanya kepada mStar Online.

Suami Faziani yang lebih mesra dipanggil Rizal berkata, kedua-dua nombor F42 dan F422 masing-masing dibida dengan nilai RM33,700 dan RM8,000.

Beliau berkata, pada awalnya hanya satu nombor iaitu F42 yang dibida tetapi kemudiannya memutuskan untuk membida nombor kedua iaitu F422 sebagai gantian sekiranya yang pertama gagal diperoleh.

"Pemilihan nombor-nombor ini bukan lagi rahsia kerana Faziani memang berhasrat untuk mendapatkan nombor tersebut. Tetapi tak sangka kami berjaya mendapatkan kedua-duanya.

"Isteri sudah tentu gembira apabila apa dihajati ditunaikan. Alhamdulillah," ujar Rizal.

Pada 24 Mei lalu, mStar Online melaporkan Faziani yang merupakan penaja utama Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) bersedia membida nombor pendaftaran kenderaan baharu yang bermula dengan abjad ‘F’ bagi Putrajaya.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan sebelum ini, menyatakan menerima sebanyak 11,683 tempahan bagi nombor pendaftaran siri F.

Nombor pendaftaran siri F dibuka untuk tempahan pada 1 Jun lepas dan ditutup pada 12 tengah hari, 14 Jun.

Selain pasangan Faziani dan Rizal, antara yang turut memenangi bidaan nombor pendaftaran F ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang berjaya memperoleh F1.

Artikel Lain