suria

Rahman Dahlan Muncul Dengan Klip Video Raya

SETIAP kali tibanya Aidilfitri, kiriman ucapan hari raya versi maya sama ada melalui media sosial atau pelbagai aplikasi komunikasi dalam talian menjadi pilihan masyarakat sebagai tanda ingatan.

Tapi lain pula dengan yang ini, rakaman semula lagu raya malar segar berserta klip video penuh warna warni menjadi pilihan menteri Kabinet, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Tampil dengan klip video berdurasi 5 minit 19 saat, Abdul Rahman dan pasukannya yang lebih dikenali sebagai ‘Team RD” memilih lagu Suasana Hari Raya nyanyian asal Anuar Zain dan Elina.


Abdul Rahman bersama anggota Team RD dalam klip video lagu Suasana Hari Raya.

Menerusi video berkenaan, Abdul Rahman yang baharu berpindah portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU) turut menunjukkan bakatnya bermain alat muzik khususnya dram.

Lebih menarik ialah kemunculan istimewa isterinya, Datin Norazlina Awang Had yang memakai baju kurung warna sedondon dengan Abdul Rahman iaitu merah jambu.

Beliau dilihat menggunakan salah satu alat muzik gamelan yang dikenali sebagai saron.

Kad ucapan Abdul Rahman sempena Aidilfitri 2016.

Menurut setiausaha akhbar Abdul Rahman, Fadzmel Fadzil, paparan pelbagai alat muzik tradisional dan moden dalam video klip itu merupakan manifestasi kepada simbol penyatuan dan keharmonian dalam masyarakat.

Jelas beliau ia selaras dengan pemilihan kata-kata pedoman yang terkandung dalam kad ucapan hari raya cetusan idea Abdul Rahman sendiri iaitu “Irama Tidak Bergantung Pada Alat Muzik, Irama Bergantung Pada Ikatan Hati Ahlinya”.

Video klip berkenaan dirakamkan di Astaka Morocco, Putrajaya sempena sambutan Aidilfitri yang bakal disambut umat Islam minggu depan. 

Abdul Rahman Dahlan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain