suria

Malaysia Kekal Tahap 2 Pemerhatian Dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2016

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
PUTRAJAYA: Malaysia kekal di Tahap 2 Pemerhatian bagi tahun 2016 dalam Laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan Orang.

Laporan Tahunan bagi 2016 itu dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) di Washington, Amerika Syarikat semalam, yang menilai 188 negara termasuk Malaysia merangkumi aspek pencegahan, pendakwaan dan perlindungan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan mengenai laporan itu hari ini berkata secara keseluruhannya, kerajaan Malaysia mengalu alukan teguran konstruktif dan cadangan yang terkandung dalam laporan tersebut serta akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya.

"Malaysia akan terus komited membanteras jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini," katanya.

Beliau berkata Jabatan Negara Amerika Syarikat mengambil maklum usaha yang dilaksanakan Malaysia dalam memperkasakan perundangan sedia ada menerusi pindaan yang berkuat kuasa mulai 18 November tahun lepas.

Katanya laporan itu juga menyatakan mengenai proses konsultansi yang diadakan antara pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam merangka peraturanperaturan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan kepada pindaan perundangan yang telah dibuat.

Ia khususnya berkaitan aspek kebenaran kepada mangsamangsa pemerdagangan orang, untuk bergerak bebas atau tinggal di luar dari rumah-rumah perlindungan kerajaan termasuk kebenaran untuk mereka bekerja di negara ini, katanya lagi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata laporan JNAS 2016 itu juga menyatakan inisiatif yang dibuat oleh kerajaan Malaysia untuk memberi peluang pekerjaan kepada mangsamangsa pemerdagangan orang di bidang perhotelan termasuk membiayai kos pemeriksaan kesihatan mereka.

"Langkah sebegini merupakan cabaran kepada negara kerana terdapat dalam kalangan mangsamangsa tersebut yang menghilangkan diri walaupun telah bekerja," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, bagi memperbaiki tahap penilaian negara untuk Laporan JNAS 2017, Malaysia dicadangkan melaksanakan sepenuhnya peraturanperaturan bagi menyokong pindaan kepada perundangan sedia ada.

Ia melibatkan dua peraturan iaitu kebebasan untuk mangsa bergerak bebas dan bekerja di negara ini yang mula berkuat kuasa pada 4 Mei tahun ini, katanya.

"Ini adalah kerana pelaksanaan kepada dua peraturan ini masih baharu dan impak serta kesannya dari aspek memelihara kebajikan mangsamangsa terbabit belum dapat dirasai sepenuhnya," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, Laporan JNAS 2016 juga mencadangkan supaya aspek penyiasatan keskes pemerdagangan buruh disiasat secara lebih terperinci terutamanya yang melibatkan kumpulan yang terjejas seperti pekerja asing.

Laporan tersebut turut menggesa agar pekerja asing termasuk pembantu rumah dimaklumkan mengenai hak mereka untuk menyimpan dokumen perjalanan termasuk menyatakannya secara jelas dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang Malaysia akan tandatangani dengan negaranegara sumber, katanya.

Dari aspek pendakwaan pula, Malaysia digesa untuk terus mempertingkat bilangan sabitan dengan melaksanakan penambahbaikan kepada pengurusan kes dan komunikasi antara mangsa pemerdagangan orang dengan pihak pendakwaraya, katanya.

Ahmad Zahid berkata bagi tahun 2015, tujuh kes pemerdagangan orang telah disabitkan melibatkan lima kes berkaitan pemerdagangan seks manakala dua lagi kes berkaitan pemerdagangan buruh.

Laporan tersebut juga mencadangkan supaya kerjasama pihak kerajaan dipertingkat dengan NGO termasuk sokongan kewangan, katanya.

Ahmad Zahid berkata pindaan kepada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM 2007) akan memberikan ruang dan fleksibiliti kepada negara untuk memperbaiki inisiatif dalam menangani isu pemerdagangan orang.

Antaranya ialah penambahbaikan terhadap aspek kebajikan, yang mangsa akan diberikan kebenaran untuk bergerak bebas dan bekerja sekiranya layak termasuk Mahkamah Sesyen boleh mengeluarkan arahan pembayaran pampasan serta gaji tertunggak kepada mangsa terbabit, katanya.

Beliau berkata kerjasama antara pihak kerajaan dan NGO dijangka bertambah kukuh khususnya dalam aspek perlindungan mangsa kerana peranan NGO dinyatakan secara jelas dalam pindaan ATIPSOM 2007.

Sokongan kewangan oleh kerajaan kepada NGO kelak tertakluk kepada keupayaan dan prestasi NGO terbabit seperti yang diamalkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia, katanya.

Ahmad Zahid juga berkata pelaksanaan ATIPSOM 2007 akan berjalan serentak dan seiring dengan Pelan Tindakan Kebangsaan (20162020) yang dijadualkan dilancarkan bulan ini (Julai 2016).

"Malaysia juga akan terus bekerjasama dengan negaranegara rakan strategik termasuk Amerika Syarikat bagi memperbaiki aspek pendakwaan untuk meningkatkan jumlah sabitan bagi jenayah ini di masa akan datang," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain