suria

Surat Rayani Air Tamat Khidmat 415 Pekerja Tersebar

Gambar fail kru kabin Rayani Air.

PETALING JAYA: Belum selesai isu tunggakan gaji, kira-kira 400 pekerja Rayani Air dikejutkan dengan surat penamatan khidmat yang tersebar sejak Rabu malam.

Menurut surat bertarikh 28 Jun 2016 (Selasa), keputusan untuk menamatkan khidmat kakitangan syarikat itu dibuat selepas syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu mengalami masalah kewangan sejak operasi dihentikan pada 8 April lalu.

Surat berkenaan ditandatangani oleh Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia Rayani Air, Datuk Karthiyani Govindan. 

Dokumen itu menyebut, masalah kewangan telah membawa kepada pembatalan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Pengendali Udara (AOC) milik syarikat, mengakibatkan syarikat tidak lagi dibenarkan beroperasi berkuat kuasa 13 Jun lalu.

Surat tersebut menyebut: “Syarikat dengan dukatcita ingin memaklumkan mengenai perkhidmatan anda ditamatkan berkuat kuasa pada 10 April 2016. Gaji anda pada Mac 2016 dan April 2016 (pro-rata sehingga 10 April 2016) akan dibayar secepat mungkin.” 


Menurut sumber kepada mStar Online, sehingga pagi Khamis, surat itu masih belum dihantar oleh pihak pengurusan syarikat secara rasmi, sebaliknya salinan surat berkenaan telah tersebar di kalangan pekerja.

“Saya dah periksa emel, belum terima surat berkenaan daripada pihak pengurusan. Rakan-rakan lain juga belum terima emel, mereka hanya dapat daripada pekerja,” katanya.

Menurut surat itu lagi, syarikat ketika ini sedang membuat rayuan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan operasi disambung semula.

“Sebagai bekas pekerja, anda mendapat keutamaan untuk memohon bekerja semula sekiranya syarikat meneruskan operasi.”

Sementara itu, Karthiyani ketika dihubungi mStar Online mengesahkan mengenai surat penamatan perkhidmatan pekerjanya, bagaimanapun katanya, urusan berkenaan sedang dilakukan pihak pengurusan.

“Kita baru selesai siapkan separuh (surat) semalam, 415 pekerja ramai,” jelas Karthiyani tanpa mengulas lanjut ketika ditanya bila surat berkenaan akan dihantar secara rasmi kepada semua kakitangan.

"Siapa yang sebarkan surat itu?" soal Karthiyani mengenai salinan surat penamatan perkhidmatan yang telah tersebar di kalangan pekerja.

Pada Selasa, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Selangor, Mohd Asri Abd Wahab memberitahu portal berita ini, pihaknya akan menasihatkan pemilik Rayani Air untuk mengeluarkan surat penamatan perkhidmatan bagi memudahkan pekerja syarikat penerbangan itu memohon kerja di syarikat lain.

Susulan pertemuan bersama Karthiyani dan suaminya, Ravi Alegandrran yang juga pemilik Rayani Air dengan Mohd Asri di Shah Alam pada Selasa berhubung isu tunggakan gaji pekerja, Karthiyani memberitahu bahawa surat penamatan perkhidmatan akan dihantar kepada semua pekerja secepat mungkin.

Pada 13 Jun lalu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) membatalkan ASL bagi Rayani Air disebabkan oleh ia melanggar syarat lesen berkenaan, selain tidak mempunyai keupayaan kewangan dan pengurusan untuk terus beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial.  

Ia diikuti pembatalan AOC oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat itu.

Terdahulu, Rayani Air digantung operasi sementara oleh DCA pada 11 April lalu, disebabkan masalah operasi yang melanda syarikat penerbangan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain