suria

Puteri Sultan Selangor Bantu Gelandangan, Golongan Miskin

Tengku Zatashah (tengah) bersama abangnya, Tengku Amir membawa mangkuk tingkat ketika berkunjung ke bazaar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam, baru-baru ini sebagai menyokong usaha pembelian tanpa beg plastik.
PETALING JAYA: Sisa makanan daripada bufet Ramadan biasanya akan dibuang, tetapi bagi salah seorang kerabat diraja di negara ini, makanan berlebihan itu perlu diberikan kepada golongan yang amat memerlukan.

Ramadan kali ini, anakanda kedua Sultan Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah telah melancarkan kempen #zerofoodwastage dalam usaha mengelakkan hotel-hotel daripada membuang lebihan makanan mereka.

"Saya mengambil keputusan memulakan inisiatif #zerofoodwastage apabila saya mendengar bagaimana bufet Ramadan di Malaysia membuang sekurang-kurangnya 270,000 tan makanan," katanya dalam satu temu bual e-mel.

Hotel-hotel utama di Lembah Klang telah turut serta dalam kempen ini, dengan menyerahkan makanan berlebihan mereka kepada Kechara Soup Kitchen (KSK).


Makanan-makanan itu dipanaskan semula, dibungkus oleh sukarelawan, dan diagihkan kepada golongan miskin yang tiada tempat tinggal melalui sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Truckerz Society.

Tengku Zatashah berkata idea itu tercetus apabila Perancis meluluskan undang-undang yang mewajibkan pasarayanya untuk memindahkan makanan mereka yang berlebihan kepada NGO dan badan amal.

"Saya suka melihat jika perkara ini berlaku di Malaysia satu hari nanti, jadi saya mahu mendekati lebih banyak hotel, restoran dan pasar raya untuk kempen #zerofoodwastage supaya kita boleh mengedarkan makanan kepada mereka yang memerlukan."

Tengku Zatashah telah menjadi sukarelawan tetap dengan KSK sejak pengalaman pertamanya mengedarkan makanan kepada golongan gelandangan dan miskin yang disifatkan sebagai 'pengalaman membuka mata dan merendahkan diri'.

Untuk kempen ini, beliau menganggarkan purata 80 hingga 100 orang telah mendapat manfaat daripada makanan berlebihan yang dikumpul dari hotel dan diedarkan oleh KSK.

Tiada inisiatif dapat dilaksanakan tanpa cabaran, dan Tengku Zatashah mengakui menghadapi kesukaran dalam meyakinkan pihak hotel tentang manfaat inisiatif itu.

"Cabarannya adalah untuk meyakinkan mereka bahawa makanan buffet, daripada ia dibuang, perlu diberikan terus kepada golongan miskin dan yang tiada tempat tinggal pada malam itu juga," katanya.

Hotel yang mengambil bahagian setakat ini adalah Hotel Concorde Kuala Lumpur, Hotel Concorde Shah Alam, Sunway Resort Hotel, JW Marriot Kuala Lumpur, Palace of the Golden Horses, Hotel Impiana, Hotel Majestic, St Regis Kuala Lumpur dan Ritz Carlton Kuala Lumpur.

Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) Malaysia juga terlibat, dengan kumpulan pelajar mengumpulkan makanan berlebihan yang akan disumbangkan untuk kempen ini.

Puteri Sultan Selangor ini juga telah muncul di bazar Ramadan di Seksyen 13, Shah Alam, baru-baru ini apabila beliau dan abangnya, Raja Muda Tengku Amir Shah membawa mangkuk tingkat ketika membeli makanan kegemaran mereka.

Tindakan membawa mangkuk tingkat itu adalah ilham daripada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang menyarankan orang ramai melawat bazar Ramadan dengan membawa mangkuk tingkat sendiri untuk mengelakkan penggunaan pembungkus plastik.

"Saya fikir ia adalah idea yang cemerlang, begitu juga abang saya. Ia adalah mesra alam, memastikan persekitaran kita bersih dan bebas daripada plastik, malah membawa mangkuk tingkat adalah satu cara yang begitu bergaya dan menawan, membawa kita kembali kepada warisan tradisi kita," katanya.

Artikel Lain