suria

Insiden Pesawat Charlie TUDM Dipintas Masih Disiasat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan masih menyiasat laporan kejadian sebuah pesawat Charlie C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dipintas dua jet pejuang Indonesia dalam ruang udara berhampiran Pulau Natuna, Indonesia, Ahad.

Panglima TUDM Jen Tan Sri Roslan Saad berkata laporan lengkap mengenainya akan dimaklumkan kepada pengurusan tertinggi sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan.

"Siasatan masih dijalankan dan pihak kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi  dalam masa terdekat.

"Operasi pesawat juga berjalan seperti biasa kerana tidak berlaku sebarang perkara mencurigakan sehingga hari ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang 2015 bagi peringkat Markas Tentera Udara dan Markas Pemerintahan Operasi Udara, di sini Isnin.

Pada Ahad, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengakui  menerima laporan mengenai kejadian itu namun tidak mempunyai maklumat lengkap yang sahih.

Menurut Hishammuddin, pesawat itu dipintas ketika dalam penerbangan dari Pangkalan Udara Subang ke Labuan.

Terdahulu, pada majlis itu, seramai 80 daripada 1185 orang pegawai dan anggota TUDM, menerima sijil khidmat cemerlang dan hadiah prestasi bernilai RM1,000.

Majlis sama juga akan diadakan serentak pada Rabu ini di Pangkalan Udara (PU) Subang, PU Labuan, PU Kuantan dan PU Butterworth.

Pada majlis hari ini, sumbangan hari raya turut disampaikan kepada tujuh warga kerja TUDM yang memiliki anak sakit kronik. -  BERNAMA

Artikel Lain