suria

Pengambilan Air Ketum Oleh Pelajar Di Utara Serius - Mahdzir

- Gambar hiasan
KANGAR: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pengambilan air ketum oleh pelajar terutama di negeri-negeri di utara adalah serius.

Beliau berkata walaupun peratusan pelajar yang menagih air tumbuhan itu tidak dapat dipastikan namun kementerian pasti mengenai penglibatan mereka dan memandang serius perkara tersebut.

"Ujian air kencing yang diambil daripada mereka secara rambang membuktikan kes penagihan air ketum serius," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Jabatan Pendidikan Perlis di sini, Isnin.

Beliau yang diiringi Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof sebelum itu diberi taklimat mengenai Jabatan Pendidikan Perlis oleh Pengarahnya, Izmi Ismail.

Sehubungan itu, Mahdzir merayu masyarakat terutama ibu bapa supaya mengambil tindakan dengan apa cara sekalipun agar anak-anak mereka terhindar daripada menjadi penagih air ketum.

Mengenai taklimat itu, Mahdzir berkata beliau dimaklumkan projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis di Bukit Chabang yang sepatutnya siap tahun ini kini dikategorikan projek sakit berikutan kontraktor menyiapkan 48 peratus sahaja infrastruktur sehingga akhir tahun lepas apabila kontraknya ditamatkan.

"Sekarang masih menunggu pelantikan kontraktor baharu bagi menyiapkan projek bernilai RM80 juta itu," katanya.

Katanya selain itu beberapa sekolah perlu dibaik pulih manakala Sekolah Kebangsaan Padang Besar (U) yang berdekatan stesen kereta api akan dipindah ke tapak baharu dan telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Mengenai program pasangan dukalara (suami isteri guru tinggal berjauhan), beliau berkata 2,000 lagi kes telah diselesaikan tahun ini sehingga bulan ini menjadikan lebih 6,000 kes daripada 19,000 kes sejak program tersebut dilaksanakan tahun lepas.

Katanya kementerian memberi keutamaan bermula dengan tempoh berjauhan paling lama namun guru-guru terbabit mesti memohon untuk diberi pertimbangan.

Artikel Lain