suria

Henti Mainan Politik, Fokus Isu Global - Siew Keong

KUALA LUMPUR: Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong menyeru pemimpin politik supaya menghentikan permainan politik dan sebaliknya memberi fokus terhadap isu negara, terutama dalam menghadapi cabaran politik dan ekonomi global semasa.

Beliau berkata para pemimpin politik negara ini juga seharusnya berkongsi idea tentang cara untuk menyelesaikan isu rakyat di peringkat lapangan dan mengetepikan perbezaan politik yang wujud antara sesama mereka.

"Dunia sedang menghadapi keadaan tidak menentu, tindakan United Kingdom untuk keluar daripada Kesatuan Eropah mengejutkan pasaran global. Hanya melalui kerjasama antara kita (rakyat Malaysia), barulah kita dapat mengatasi sebarang cabaran dalam tempoh yang tidak menentu ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Koperasi Rakyat Berhad, di sini , Ahad.

Mah, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata walaupun Malaysia menghadapi masa depan yang rumit, beliau yakin progrm transformasi kerajaan akan berjaya mengharungi tempoh mencabar itu.

Katanya, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini menunjukkan rakyat tetap yakin dengan kepimpinan sedia ada untuk membawa perubahan kepada negara.

"Mereka yang ditemui semasa pilihan raya kecil itu memberitahu saya bahawa mereka sudah jemu dengan mainan politik yang tidak berkesudahan dan sebaliknya lebih berminat untuk bercakap tentang isu yang mereka hadapi.

"Langkah yang perlu diambil ialah mengadakan perbincangan untuk mencari penyelesaian bagi masalah kita dan itulah yang akan menjadi fokus kami mulai sekarang," katanya.

Diminta mengulas tentang kemungkinan rombakan Kabinet dilakukan minggu depan, Mah berkata perkara itu merupakan prerogatif perdana menteri, maka terpulanglah kepada beliau untuk menentukan siapa yang patut kekal atau mengucapkan selamat tinggal.

"Kami tidak bincang pun perkara itu pada mesyuarat Kabinet atau mesyuaratparti komponen BN. Terserahlah kepada beliau (PM) untuk membuat keputusan, kita tunggulah sampai minggu depan," katanya.-Bernama

Artikel Lain