suria

Suri Rumah Didakwa Ubah Wang Haram

SHAH ALAM: Seorang suri rumah beranak empat dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM90,000, dua tahun lepas.

Tertuduh, Nursuhara Ismail, 37, mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Zamri Bakar.

Wanita itu dituduh melakukan perbuatan itu dengan cara menerima wang hasil aktiviti haram tersebut ke dalam akaun RHB Bank miliknya daripada mangsa, Maimunah Dollah, 44.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di RHB Bank Berhad cawangan Sungai Buloh, Jalan Public, Kampung Baru Sungai Buloh, dekat sini pada 14 Julai 2014.

Jika sabit kesalahan, wanita itu boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Fikrie Ahmad Zubaidi mencadangkan supaya mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 ke atas tertuduh dan memohon supaya kes itu dibicarakan bersama dua lagi kes yang melibatkan transaksi dan saksi pendakwaan sama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Nursuhara bagaimanapun merayu supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu atas alasan hanya mempunyai RM2,000 berikutan penjamin yang juga suaminya berpendapatan RM1,000 sebulan hasil pekerjaan di sebuah kilang besi.

"Saya mempunyai empat orang anak malah suami terpaksa menanggung ibu saya dan tiada wang lebih untuk jumlah jaminan tinggi tersebut," katanya.

Zamri menetapkan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan kes itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pada September dan Oktober tahun lepas, seorang lelaki, S. Baitumalai dan seorang penyelia kilang, Siew Ooi Nguk mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram masing-masing berjumlah RM264,000 dan RM19,750 melibatkan mangsa yang sama.

Mahkamah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain